Oh Tong Keong.

GEORGE TOWN – Parti Gerakan Pulau Pinang mendakwa kepentingan rakyat di negeri itu akan terancam dengan tindakan penjualan tanah secara berleluasa oleh kerajaan negeri.

Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, penjualan tanah kerajaan negeri kepada pihak swasta itu juga akan mengakibatkan rakyat kurang berkemampuan tidak mampu membeli rumah sekali gus terpaksa berhijrah keluar dari Pulau Pinang.

Jelas beliau, lima kemungkinan bakal dihadapi rakyat di negeri ini sekiranya Kerajaan Negeri masih meneruskan penjualan tanah dengan alasan mahu memulihkan ekonomi.

“Sekiranya pihak swasta memiliki tanah di negeri ini sudah semestinya rumah mahal yang akan dibina manakala jika tanah itu dimiliki institusi perubatan swasta pula, caj kos perubatan turut akan membebankan rakyat.

“Ibu bapa juga mungkin berdepan dengan tanggungan yuran pengajian yang tinggi apabila institusi pendidikan swasta membeli tanah milik kerajaan negeri.

“Cukai pintu, cukai tanah dan tarif air akan meningkat ekoran projek pembangunan bersepadu ia sekali gus membebankan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambah Tong Keong, pendekatan menjual tanah untuk memulihkan ekonomi yang dilakukan kerajaan DAP ini menunjukkan mereka tidak mampu memberi cadangan bernas kepada Kerajaan Pusat untuk membantu negara keluar daripada krisis ekonomi.

Sehubungan itu,  Tong Keong menggesa Kerajaan Negeri merangka dan merancang pelan yang menyeluruh untuk menjana pendapatan negeri daripada meneruskan agenda menjual tanah.

“Jelas kita boleh lihat kemungkinan yang akan berlaku pada masa akan datang, jadi kerajaan negeri perlu bentangkan rancangan mereka membangunkan ekonomi di negeri ini secara umum agar rakyat tahu apa yang sedang berlaku,” kata Tong Keong. – MalaysiaGazette