KUALA LUMPUR – Perkhidmatan tren KLIA Ekspres dan KLIA Transit kendalian Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) akan beroperasi semula secara perkhidmatan bergabung dari 6 pagi hingga 10.10 malam setiap hari, mulai 13 Sept.
ERL dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah tersebut adalah susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, yang membenarkan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor untuk beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara.
Menurut kenyataan itu tren berkenaan akan bergerak setiap satu jam sepanjang tempoh operasi dan jadual tren akan disesuaikan kemudian mengikut pertambahan jumlah penumpang.
“Kad Perjalanan Bulanan itu menawarkan penjimatan besar kepada pengguna dengan diskaun yang tinggi iaitu sehingga 83 peratus,” menurut kenyataan itu.
Perkhidmatan tren ERL dihentikan sementara waktu bermula 4 Jun lepas apabila penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi susulan pelaksanaan sekatan penuh, selepas mendapat persetujuan Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat.
“Melalui vaksinasi penuh dan pembersihan harian yang teliti pada tren dan stesen, orang awam tidak perlu risau akan keselamatan mereka dan dapat menikmati pengalaman yang selesa ketika menaiki tren,” menurut kenyataan itu.
Jadual penuh tren dan perkembangan terkini mengenai langkah berjaga-jaga, boleh dimuat turun di laman web www.KLIAekspres.com atau Facebook KLIA Ekspres.
— BERNAMA