Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terkini COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 09 SEPTEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Pasukan yang menguruskan aplikasi MySejahtera diberi tempoh seminggu untuk menyelesaikan isu berkaitan sijil digital bagi membuktikan seseorang individu telah menerima suntikan vaksin lengkap.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, terdapat individu yang telah menerima dos lengkap namun, aplikasi berkenaan tidak memaparkan sijil digital mereka.

Katanya, kad vaksinasi juga akan dikeluarkan kepada penerima suntikan sebagai bukti tambahan mereka telah lengkap divaksin.

mengulas berhubung kematian melibatkan individu yang telah menerima suntikan vaksin lengkap, Khairy mengakui ada kes seperti itu berlaku namun ia hanya melibatkan 0.009 peratus kematian.

Ujarnya, jumlah itu adalah bersamaan dengan 90 orang bagi sertiap sejuta penduduk dan pemberian vaksin sememangnya berkesan dan mampu menyelamatkan nyawa, tidak kira jenama yang diterima.

“Memanglah akan ada kematian ‘breakthrough’, namun, lebih baik anda divaksin daripada tidak mengambilnya,” katanya.

Tambahnya, 81 peratus daripada mereka yang meninggal dunia walaupun telah lengkap divaksin mempunyai komorbiditi, manakala 80 pertus berusia lebih 60 tahun.

Selain itu, beliau berkata, daripada 2,417 kematian di luar hospital (BID) atau tiba mati di hospital, 86 peratus tidak menjalani pemantauan perubatan sama ada di bawah Kementerian Kesihatan atau penjagaan kesihatan swasta, setakat 31 Ogos.

Justeru katanya, KKM akan mengusahakan sesuatu yang antaranya mengurangkan bilangan BID dengan meningkatkan jumlah individu yang menjalani pemantauan kesihatan. – MalaysiaGazette