KUALA LUMPUR – Rakyat Pulau Pinang mengharapkan berita baik apabila Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin Abu Bakar yang akan membuat lawatan rasmi ke negeri itu esok.
Menurut Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, kehadiran menteri itu adalah peluang terbaik untuk mencari ruang jalinan kerjasama di antara KKM dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
“Untuk kebaikan rakyat, demi kemenangan dalam pertempuran menentang Covid-19, kita boleh bersama-sama menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat,” kata Setiausaha DAP menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Dalam hantaran sama, Guan Eng berkata, usaha Kementerian Kesihatan yang memperkenalkan laman web baharu COVIDNOW tidak boleh disia-siakan.
“Data terperinci harus dikaji dan dianalisa dengan tindakan yang bersasar.
“Sekiranya data COVIDNOW disusuli dengan tindakan segera, ini memberikan harapan bahawa pendekatan keseluruhan masyarakat yang melibatkan semua segmen masyarakat dapat ikut serta untuk menang dalam pertempuran melawan Covid-19,” katanya.
Jelasnya Guan Eng, pada masa ini terdapat keperluan mendesak bagi Kerajaan Persekutuan untuk mencurahkan sumber serta tenaga kerja, ubat-ubatan, menyediakan lebih banyak katil unit rawatan rapi (ICU) dan kemudahan merawat pesakit kepada hospital-hospital yang sedang tertekan bagi melindungi keselamatan kaki tangan dan pesakit.
“Pulau Pinang juga pada ketika ini perlu memanfaatkan kelebihan daya saing iaitu memiliki sektor perubatan swasta terbaik di Malaysia dengan memanfaatkan kepandaian, kemahiran dan kepakaran mereka,” katanya lagi.
Semalam, KKM memperkenalkan COVIDNOW di mana menerusi laman web ini, ia akan memaparkan data yang lebih mudah difahami serta diakses oleh masyarakat umum.
Ia juga akan memberikan pemahaman dan kesedaran lebih baik berkenaan situasi jangkitan Covid-19 dalam negara.
Layari https://covidnow.moh.gov.my/ untuk maklumat lanjut.- MalaysiaGazette