Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diberi tempoh sehingga esok untuk menjawab tentang dakwaan bahawa Datuk Seri Najib Razak telah meminta kerajaan campur tangan dalam kes-kes mahkamah yang membabitkan beliau.

Ahli Parlimen Pekan itu telah menghantar surat tuntutan kepada Muhyiddin hari ini.

Najib dalam hantaran di laman Facebook berkata, tuntutan itu dibuat berikutan surat balasan peguam Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Katanya, dalam surat tersebut Wan Saiful menyebut bahawa hantarannya di laman sosial yang mendakwa Najib meminta kerajaan campur tangan dalam kesnya adalah hak kebebasan mereka untuk bertanya di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Itu jawapan Wan Saiful. Dengan merujuk jawapan rasmi peguam Wan Saiful, peguam saya juga telah hantar surat tuntutan yang sama kepada PM8.

“Menuntut dia jawab secara jelas jika dia yang salurkan “khabar angin” berkenaan saya kepada Wan Saiful dan juga tuntut dia mengulas bila dan bagaimana saya pernah minta dia campur tangan dalam kes-kes mahkamah saya.

“Kami beri tempoh sehingga hari esok untuk dia jawab.

“Kita sama-sama tunggu jawapan PM8.

“Kami akan tentukan langkah seterusnya setelah menerima jawapan dia,” katanya.

Di awal hantarannya Najib berkongsi surat balasan dari peguam Wan Saiful yang disifatkan sebagai fitnah yang dibawa ke perutusan dalam televisyen bahawa beliau meminta campur tangan perdana menteri dalam kes mahkamahnya.

“Kononnya ini sebab PM8 dijatuhkan. Bukan sebab mereka gagal segagalnya untuk mengawal Covid negara yang sudah menjadi antara paling parah dalam dunia serta ekonomi yang semakin merudum sehingga pasaran saham Malaysia jadi kedua paling corot dalam dunia bagi tahun 2021,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Menurut Najib, Ketua Penerangan Bersatu telah melanjutkan fitnah tersebut dalam hantaran di Facebook dengan merujuk namanya dan apabila diminta mengemukakan bukti, mereka menjawab hanya mendengar mengenai permintaan campur tangan itu dari khabar angin dan untuk memberi peluang Ahli Parlimen Pekan itu menjawab

“Kamu boleh kritik dan kecam saya tetapi jangan fitnah saya lagi.

“Sebab saya telah bosan dengan fitnah-fitnah yang tak henti-henti, penggunaan propaganda media serta penyalahgunaan agensi kerajaan terhadap saya.” katanya.

Pada 14 Ogos lalu Najib memfailkan notis tunjuk sebab terhadap Wan Saiful bagi mendapatkan perintah mahkamah supaya beliau selaku responden memberikan sebab mengapa tidak boleh dipenjara atau didenda atas alasan menghina mahkamah.

Najib memetik dakwaan Muhyiddin bahawa beliau terpaksa melepaskan jawatan perdana menteri kerana ada yang rakus kuasa mahukan jawatannya.  MalaysiaGazette