KUALA LUMPUR – Peratusan vaksinasi lengkap bagi populasi dewasa di negeri Kelantan sudah melebihi 50 peratus sehingga hari ini, kata Datuk Seri Dr. Adham Baba.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu, lebih 73 peratus daripada populasi dewasa juga telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

“Kelantan kini berada pada landasan yang tepat untuk mencapai nilai ambang 60 peratus yang disasarkan pada hujung September nanti, setakat Rabu lalu sembilan daripada 10 daerah telah merekodkan kadar melebihi 60 peratus bagi yang telah menerima dos pertama.

“Hanya Gua Musang sahaja yang masih berada di bawah sasaran tersebut setakat ini di mana usaha dan perhatian sedang diberikan untuk memastikan kadar dos pertama yang diberikan adalah mencukupi bagi rekod dos kedua dapat mencapai sasaran tersebut pada hujung bulan nanti,” katanya menerusi satu kenyataan media semasa mengadakan lawatan ke negeri Kelantan hari ini.

Mengulas lanjut, Adham berkata, sehingga Khamis lalu, pecahan vaksinasi bagi negeri Kelantan menyaksikan seramai 58,405 warga emas telah menerima dos pertama dan sejumlah 136,848 menerima dua dos.

Katanya, bagi golongan orang kurang upaya seramai 21,407 telah menerima dos pertama vaksin dan seramai 14,507 selesai menerima dos kedua.

Sementara individu dengan komorbiditi dilaporkan seramai 400,507 telah menerima dos pertama dan 289, 216 lengkap dua dos.

“Berdasarkan pembentangan pemantauan pengedaran vaksin Covid-19 semasa mesyuarat CITF pada Rabu lalu, negeri Kelantan bakal menerima bekalan vaksin sebanyak 1,248,900 juta dos sepanjang bulan September ini,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Adham berkata, negara telah mencapai peratusan kadar vaksinasi melebihi 90 peratus bagi populasi dewasa yang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos manakala lebih 70 peratus daripadanya telah lengkap divaksinasi.

“Peratusan populasi keseluruhan negara juga amat memberangsangkan dengan lebih 50 peratus telah lengkap divaksinasi dan lebih 65 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos,” katanya. – MalaysiaGazette