Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya

 

KUALA LUMPUR – Jumlah aliran masuk pelabur asing pada bulan Ogos berjumlah RM7.7 bilion, nilai tertinggi sejak Jun 2020 dan telah mengimbangi aliran keluar bagi dua bulan sebelum itu.

Pelabur asing telah menjadi pembeli utama dengan pelaburan bersih di pasaran bon ringgit sejumlah RM6.6 bilion (Julai 2021: -RM3.6 bilion), dan RM1.1 bilion (Julai 2021: -RM1.3 bilion) bagi pasaran ekuiti negara.

Ini menunjukkan penjualan bersih atau aliran keluar pelabur asing yang semakin berkurangan.

Indeks penanda aras utama Maaysia, FBM KLCI yang telah menurun sebanyak 5.7% setakat tahun ini, telah berjaya pulih pada kadar 50% berbanding kerugian semenjak dua minggu yang lalu. Ini merupakan bukti keyakinan pelabur dan pengurus dana terhadap prospek pertumbuhan negara, serta kesinambungan dasar-dasar kerajaan.

Selain itu, nilai harga pasaran ekuiti negara yang lebih menarik berbanding pasaran ekuiti negara lain di rantau ini juga menjadi tarikan utama aliran masuk dana pelabur asing.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, Malaysia terus mencatat aliran masuk bersih modal pelabur asing didorong oleh kemajuan positif Pelan Pemulihan Negara (PPN), yang telah menambah baik situasi keseluruhan kesihatan awam serta membenarkan pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Walaupun tinjauan ekonomi Malaysia terus berhadapan dengan cabaran oleh peningkatan kadar jangkitan yang berterusan, kemajuan positif vaksinasi dan pengawalan kes COVID-19 yang kritikal dijangka akan mendorong pertumbuhan.

Tambahan lagi, beberapa negeri telah beralih ke Fasa 2 dan 3 PPN.

Ini termasuklah Lembah Kelang dan Putrajaya yang telah beralih ke Fasa 2 pada 10 September 2021, yang akan membolehkan pembukaan ekonomi yang lebih meluas bagi negeri-negeri dengan populasi yang padat.

Prospek pertumbuhan yang lebih baik ini telah mengembalikan keyakinan pelabur terhadap pasaran modal Malaysia.

Tengku Zafrul menambah, dari segi pasaran bon ringgit, aliran masuk pelabur asing pada Ogos 2021 tertumpu kepada terbitan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) yang bernilai RM3.1 bilion (Julai2021: -RM3.6 bilion); dan terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) sejumlah RM3.2 bilion (Julai 2021: RM425 juta).

Bagi pasaran bon korporat pula, aliran masuk pelabur asing juga telah mencatatkan nilai yang lebih tinggi, iaitu RM267 juta (Julai 2021: +RM62 juta).

Setakat hujung Ogos 2021, pegangan pelabur asing bagi bon Kerajaan Malaysia meningkat sebanyak RM23.9 bilion kepada RM226.1 bilion merangkumi
RM191.7 bilion atau 40.3% dari jumlah MGS dan b. RM34.4 bilion atau 8.6% dari jumlah MGII.

Setakat akhir Jun 2021, lebih dari 50% pegangan bagi bon Kerajaan Malaysia dipegang oleh pelabur jangka panjang iaitu pelbagai bank-bank pusat dan kerajaan (32.4%); dana persaraan (18.4%) dan syarikat insurans (2.2%).

Dari segi pelabur tempatan, pegangan bon kerajaan disokong oleh kecairan yang mencukupi oleh institusi perbankan, serta pelabur institusi.

Berbanding tahu-tahun yang lalu, semua segmen pasaran bon ringgit telah menunjukkan penambahbaikan yang teguh walaupun berhadapan dengan cabaran berkait dengan Covid-19.

Ini telah digambarkan oleh data kumulatif aliran masuk bersih pelabur asing pada akhir Ogos, yang mana sejumlah RM24.5 bilion telah dicatatkan.

Secara keseluruhan, termasuk penerbitan terkini bon kerajaan pada 3 September 2021 yang mencatatkan BTC sebanyak 2.69 kali, menunjukkan BTC
purata tahun ini adalah sebanyak 2.15 kali. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast