Kerajaan negeri bersetuju menyumbang peruntukan bantuan secara sekali bayar (one off) sebanyak RM3.96 juta kepada pusat tahfiz dan sekolah pondok yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri Johor.
JOHOR BAHRU –  Kerajaan negeri bersetuju menyumbang peruntukan bantuan secara sekali bayar (one off) sebanyak RM3.96 juta kepada pusat tahfiz dan sekolah pondok yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, peruntukan itu akan diserahkan kepada 116 madrasah tahfiz dan 16 pondok tahfiz di seluruh negeri.
Setiap institusi terlibat akan menerima peruntukan berjumlah RM30,000.
“Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) tidak lupa peranan dan sumbangan dimainkan institusi tahfiz dalam tempoh pandemik Covid-19 ketika ini.
“Sehubungan itu, bagi memastikan institusi tahfiz ini terus beroperasi bagi membangunkan syiar dan pendidikan Islam, MAINJ memperuntukkan bantuan one-off berjumlah RM30,000 kepada institusi tahfiz yang berdaftar.
“Diharap dengan peruntukan ini, tidak timbul isu institusi tahfiz gulung tikar di negeri ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Media pernah melaporkan lebih 10,000 atau 50 peratus pelajar pusat tahfiz di seluruh negara tercicir dalam pengajian ekoran pelaksanaan tiga siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dianggarkan 140 pusat tahfiz di seluruh negara ‘gulung tikar’ atau menutup operasi kerana tidak mampu menampung kos pengurusan kesan pandemik COVID-19 yang menular lebih setahun lalu.
Tosrin turut menyeru institusi tahfiz yang masih belum berdaftar di negeri ini agar berbuat demikian dengan segera bagi membolehkan peruntukan sama diagihkan kepada mereka.
Berdasarkan rekod, Muar merupakan daerah yang menempatkan paling banyak tahfiz berdaftar di negeri ini, iaitu 26 institusi, diiikuti Batu Pahat (24) dan Johor Bahru (19). – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.