Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin semasa sidang media hari ini.

PUTRAJAYA – Sesi persekolahan secara bersemuka yang bermula 3 Oktober ini akan dilaksanakan secara penggiliran mengikut fasa-fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Hanya 50 peratus murid dalam satu kelas dibenarkan hadir ke sekolah.

Jelas Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, setiap murid dalam satu kelas akan dibahagikan kepada dua kumpulan.

Beliau berkata, berdasarkan penggiliran minggu, satu kumpulan akan hadir ke sekolah manakala satu kumpulan akan mengikuti proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah  (PdPR).

“Apa yang penting adalah untukmembawa anak-anak kembali ke sekolah kerana mereka telah lama renggang dengan sekolah.

“Kita tidak boleh biar anak-anak terus renggang dengan sekolah,” katanya ketika Sidang Media Pengoperasian Sekolah di sini hari ini.

Namun begitu, menurut Radzi, terdapat beberapa kategori murid yang dikecualikan untuk hadir ke sekolah dengan sistem penggiliran.

Mereka adalah pelajar Murid Berkeperluan Khas di SMKPK/SMPKV/SKPK dan PPKI, murid Tingkatan 6 Semester 2 dan IBD tahun 2 dan yang berada di sekolah asrama sepenuhnya.

“Turut dikecualikan penggiliran datang ke sekolah, murid kelas peperiksaan antarabangsa, murid prasekolah/tadika swasta atau perkembangan minda (empat hingga enam tahun) dan Sekolah Kurang Murid (yang mempunyai kurang 150 jumlah keseluruhan murid),” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, waktu persekolahan tidak dipendekkan kerana mengambil kira proses kemasukan dan penyuaraian murid secara berperingkat.

Pihak sekolah tambahnya perlu memastikan pengudaraan yang baik dalam kelas dalam masa yang sama digalakkan untuk menggunakan kipas.

Menurut Radzi, pemakaian pelitup muka di kawasan sekolah adalah diwajibkan dan dalam masa yang sama pemakaian secara berganda juga digalakkan.

“Semua murid makan di dalam kelas semasa waktu rehat dengan seliaan guru. Untuk kelas yang menggunakan penyaman udara, murid akan makan di ruang terbuka dengan seliaan guru.

“Untuk murid yang datang dari keluarga sosiekonomi yang rendah, miskin, kita akan ikhtiarkan untuk kita bekalkan sedikit pelitup muka untuk mereka di sekolah, maka kita akan bekalkan kepada guru untuk melihat adakah murid perlu bantuan pelitup muka,” ujarnya.

Dalam pada itu, aktiviti kokurikulum adalah tidak dibenarkan namun untuk Kelas Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK, murid perlu memakai pakaian sukan dari rumah.

Selain itu, pihak sekolah katanya lagi, turut menyediakan Kit Ujian Kendiri Berasaskan Air Liur (COVID-19 RTK-Ag) untuk pelajar yang dilihat menunjukkan gejala selepas berada di sekolah dalam beberapa waktu. – MalaysiaGazette