Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin semasa sidang media hari ini.

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk memuktamadkan tindakan terhadap guru yang enggan divaksinkan.

Menterinya, Datuk Dr. Radzi Jidin memberi jaminan untuk memastikan guru yang tidak divaksin tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka pada sesi persekolahan yang dijadualkan bermula 3 Oktober ini.

“Untuk guru-guru yang tidak divaksin tidak dibenarkan mengajar bersemuka. Ada yang belum dapat tarikh vaksin, ada yang enggan divaksinkan.

“Tindakan untuk mereka yang tidak mahu divaksin, kita sedang berbincang dengan JPA. Kita pastikan guru- ini tidak mengajar bersemuka di dalam kelas,” katanya ketika Sidang Media Pengoperasian Sekolah di sini hari ini.

Sebelum ini dilaporkan KPM mengenal pasti seramai 2,500 guru di seluruh negara belum menerima vaksin.

Sehubungan itu, KPM sudah meminta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk turun berbincang dan menasihat guru-guru berkenaan.

Mengulas lanjut Radzi berkata, guru-guru yang enggan divaksinakan diberi tugasan lain di sekolah semasa sesi persekolahan dibuka nanti.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, para pekerja yang terlibat dengan pembersihan, kantin sekolah juga perlu divaksin pada sesi kali ini. -MalaysiaGazette