Seorang lelaki mendakwa dirinya ‘diculik’ dan ‘dipaksa’ berada di ICU HPP di George Town di media sosial semalam

KUALA LUMPUR – Audio tular berhubung seorang pesakit Covid-19 mendakwa dirinya ‘diculik’ dan ‘dipaksa’ berada di Unit Rawatan rapi (ICU) di Hospital Pulau Pinang (HPP) sebenarnya masih menjalani rawatan untuk pemantauan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Dr. Ma’arof Sudin mengesahkan hal itu berkata, keadaan pesakit berkenaan iaitu Affendy Mohd Yusof kini kritikal dan berisiko menyebarkan virus itu sekiranya dibenarkan pulang.

“Pemeriksaan awal terhadap Affendy menunjukkan berlaku penurunan tahap oksigen dalam darah yang sangat membimbangkan.

Selain itu, keadaan pesakit juga semakin kritikal sehingga kadar oksigen dalam darah hanya boleh distabilkan dengan menggunakan mesin bantuan pernafasan iaitu ventilator,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Dr. Ma’arof, pegawai perubatan pakar rawatan rapi dan ICU juga telah memaklumkan kepada pesakit serta ahli keluarganya berhubung keadaan dia yang kritikal.

“Pihak hospital telah menjelaskan berulang kali kepada ahli keluarganya dan pesakit sendiri tentang risiko yang boleh membahayakan kepada tubuh dan nyawa pesakit sekiranya tidak membenarkan pihak memberikan rawatan.

”Namun, pesakit masih tidak bersetuju dengan rawatan yang telah disyorkan dan telah memohon agar dibenarkan pulang atas risiko sendiri,” ujar beliau.

Bagaimanapun, pihak hospital kini masih menempatkan pesakit tersebut di ICU untuk pemantauan walaupun dia enggan menerima rawatan terapi oksigen dan alat bantuan pernafsan memandangkan keadannya masih kritikal dan berisiko.

Dr. Ma’arof juga menafikan dakwaan mengenai pesakit itu tidak diberi makanan semasa di ICU, sebaliknya pihak hospital memberikan makan berbentuk cecair seperti susu bagi memudahkan proses penghadaman dan mengelakkan komplikasi.

Tegas beliau, pihak hospital sentiasa prihatin dan akan meneruskan pemantauan terhadap pesakit itu serta akan memberi maklumbalas berkala kepada keluarganya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan kepada orang awam dan pesakit yang mempunyai sebarang pertanyaan, aduan atau cadangan perlu berhubung secara terus dengan pihak hospital berkenaan untuk penambaikkan perkhidmatan.

Sejak semalam, tular di media sosial mengenai seorang pesakit Covid-19 di ICU HPP yang mendakwa dirinya diculik dan dipaksa menjalani rawatan di wad ICU hospital berkenaan walaupun keadaan kesihatannya stabil. – MalaysiaGazette