Foto Facebook Johor Southern Tigers.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merakamkan ucapan tahniah kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) setelah secara rasminya bergelar juara Liga Super musim ini selepas tamat perlawanan menentang KL City FC di Sultan Abu Bakar, Iskandar Puteri malam tadi.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh di Johor turut berkongsi rasa bangga dan gembira atas kejayaan dan rekod yang dicipta pasukan Harimau Selatan yang memenangi kejuaraan tersebut buat lapan musim berturut-turut.

Jelas beliau, kejayaan tersebut adalah bukti bahawa segala perancangan, iltizam dan komitmen tinggi yang ditonjolkan pasukan JDT membolehkan mereka menulis semula rekod yang diperbaharui itu saban tahun.

“Tahniah JDT yang sekali lagi dinobatkan sebagai Juara Liga Super malam ini, kejayaan kali kelapan berturut-turut buat Harimau Selatan.

“Sebagai anak Johor, saya pastinya turut sama berkongsi rasa bangga serta gembira atas kejayaan dan rekod yang dicipta pasukan ini,” tulisnya di Facebook malam tadi.

JDT mengesahkan kedudukan sebagai juara Liga Super secara rasmi malam tadi selepas tamat perlawanan menentang KL City yang menyaksikan kemenangan 2-1 berpihak kepada pasukan tuan rumah.

Sebelum upacara penyerahan piala Liga Super musim ini, turut diadakan ialah Majlis penyerahan replika cek sumbangan daripada JDT kepada wakil petugas barisan hadapan berjumlah RM1 juta.

Sumbangan itu menepati hasrat pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mendedikasikan kejuaraan Liga Super kali kelapan kepada semua petugas barisan hadapan yang telah bekerja sepenuh hati ketika pandemik Covid-19

Tunku Mahkota Johor menyuarakan hasrat agar JDT mendermakan duit kejuaraan liga kepada tabung untuk keluarga-keluarga petugas barisan hadapan.

Tunku Ismail turut berkesempatan meraikan sambutan kejuaraan Liga Super 2021 bersama barisan pemain dan menaiki bas dua tingkat tidak berbumbung untuk bertemu penyokong setia JDT di ‘in-car viewing party’ di pekarangan Stadium Sultan Ibrahim.

Malam gemilang sambutan kejuaraan itu ditutup dengan pertunjukan bunga api yang mewarnai ruang angkasa stadium tersebut. – MalaysiaGazette