Seorang jururawat melakukan proses pengambilan darah yan turut serta mengambil bahagian menderma darah di Masjid Negara, Kuala Lumpur. Gambar arkib MalaysiaGazette


KUALA LUMPUR – Individu yang baharu sahaja menerima suntikan dos pertama atau kedua vaksin Covid-19 perlu menunggu tujuh hari sebelum dibenarkan menderma darah.

Jelas Pengarah Pusat Darah Negara (PDN) Dr. Noryati Abu Amin, ia merupakan langkah berjaga-jaga demi melindungi kesihatan penderma dan pesakit yang bakal menerima darah kelak.

Ia juga merupakan antara Garis Panduan Pencegahan Dan Kawalan Semasa Aktiviti Pendermeaan Darah Bagi Mengekang Penularan Jangkitan Penyakit Berjangkit Covid-19.

“Tindakan ini selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

”Tempoh penangguhan ini mengambil kira jenis vaksin Covid-19 dan disyorkan untuk penangguhan tujuh hari selepas menerima dos pertama atau kedua Pfizer, Astra Zeneca, Sinovac dan Cansino),” katanya menerusi kenyataan media.

Beliau dalam masa yang sama menafikan dakwaan yang tular menerusi mesej di Whatsapp baru-baru ini yang mengatakan individu telah divaksin tidak dibenarkan menderma darah.

Mesej berkenaan turut mendakwa bekalan darah negara kini semakin berkurangan dan kritikal.

“Pusat Darah Negara ingin menegaskan mesej ini adalah tidak benar dan boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan orang ramai,”tambahnya.

Sebaliknya, Noryati menegaskan status bekalan darah di seluruh negara kini menunjukkan peningkatan baik sejak akhir-akhir ini walaupun negara masih berdepan dengan pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette