Bomba Pulau Pinang zahirkan semangat patriotisme sempena sambutan Hari Malaysia dengan membawa Jalur Gemilang secara rappelling di Balai Bomba Jalan Perak di sini hari ini.

GEORGR TOWN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang (JBPPP) menzahirkan semangat patriotisme sempena sambutan Hari Malaysia pada Khamis ini dengan melakukan latihan tata cara menyelamat menggunakan tali di bangunan tinggi sambil membawa Jalur Gemilang.

Seramai 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak sertai acara itu hari ini dengan mempamerkan aksi ‘abseiling’, ‘flying fox’, rappelling dan ‘spider’.

Acara flying fox sambil membawa bendera Malaysia antara yang diaksi yang dipamerkan.

Pengarah JBPPP, Saadon Mokhtar berkata, program itu bertujuan menyemarakkan perpaduan dalam konteks Keluarga Malaysia sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini.

Jelas beliau, aktiviti itu diselaraskan Ketua Balai Bomba Jalan Perak, Aazelan Hassan dalam kalangan anggota bomba negeri ini bagi menyemarakkan rasa cintakan negara.

“Sambutan ini dilakukan secara sederhana dengan mengikut pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Saadon (tengah).

“Kita mahu tunjukkan bahawa semangat patriotisme tetap menebal dalam diri setiap rakyat di negara ini walaupun tiada sambutan Hari Malaysia dibuat akibat Pandemik Covid-19,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Saadon berkata, tiada anggota bomba negeri itu positif Covid-19 buat masa ini.

“Bagaimanapun, dua anggota yang telah lengkap divaksin kini dikuarantin sehingga 20 September susulan kontak rapat ahli keluarga mereka yang positif.

Saadon (tengah) mengibarkan bendera Malaysia pada program Sambutan Hari Malaysia Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang hari ini.

“Sebelum ini, empat anggota kita didapati positif Covid-19 dan jangkitan dipercayai berpunca daripada ahli keluarga namun semua mereka sudah potong gelang kuarantin pada 11 September lalu,” jelas Saadon. – MalaysiaGazette