Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR – Kompaun yang dikenakan kepada sebahagian ahli Parlimen pembangkang yang berhimpun di Dataran Merdeka pada 2 Ogos lalu telah dikurangkan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tidak wujud perbezaan dua darjat di antara pembangkang dan kerajaan dalam isu kompaun ini.

“Insya Allah bukan lagi RM3,000 tetapi sama macam rakyat lain yang melakukan kesalahan berkumpul dalam waktu tidak dibenarkan,” katanya ketika menberi penjelasan di Dewan Rakyat berkenaan isu sekatan ahli Parlimen pembangkang ke Parlimen.

Beliau turut menjelaskan, penutupan bangunan Parlimen pada 2 Ogos lalu dan langkah tidak membenarkan mana-mana ahli Parlimen memasuki bangunan itu bertujuan mengurangkan penularan wabak Covid-19.

“Sebenarnya isu ini adalah isu di mana kerajaan menjaga agar semua ahli Parlimen dapat hadir hari ini.

“Ketika itu diketahui ramai, virus Covid-19 merebak begitu ketara sekali. Saya tidak ingat jumlah sebenar, tetapi ia demi keselamatan.

“Apabila dimaklumkan kepada polis, kawasan ini perlu disanitasi,” katanya.

Perkara itu dibangkitkan beberapa ahli Parlimen pembangkang yang ingin tahu siapakah memberi arahan kepada pihak polis untuk menutup semua jalan masuk ke bangunan Parlimen.

Antara ahli Parlimen yang meminta penjelasan adalah Ketua Perbangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, RSN Rayer (Jelutong), Datuk Ngeh Koo Ham (Beruas), Wong Kah Woh (Ipoh Timur) dan M Karupaiya (Padang Serai).

Hamzah turut menjelaskan mengenai Akta 342 yang dikatakan kesalahan besar telah dilakukan oleh pihak polis yang menyekat aghli Parlimen untuk bekerja.

“Amat mustahak untuk jaga semua kesihatan semua. Saya tidak arahkan sesiapa.

“Tapi di bawah akta itu (Akta 324), penguatkuasaan polis adalah mengikut undang-undang Perlembagaan Persekutuan.

“Tidak timbul siapa yang arahkan. Oleh kerana itu, saya nak jelaskan Parlimen tidak lagi bersidang, ditangguh. Kuasa dan usul tamat,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Untunglah YB-YB dapat kurang kompaun, rakyat marhaen sampai menanggis dan sanggup masuk penjara kerana nak kurangkan kompaun. Itu ada juga YB minta tidak mahu bayar.

Comments are closed.