Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika program outreach yang turut meliputi masyarakat Orang Asli di Pos Titom, Kuala Lipis, Pahang hari ini.

KUALA LIPIS –  Sebanyak 34,978 dos pertama vaksin telah diberikan kepada masyarakat Orang Asli di negeri Pahang sehingga semalam.

Ia merangkumi 66.8 peratus jumlah penduduk Orang Asli di negeri itu, kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Bagi dua dos, sebanyak 21,546 atau 41.1 peratus telah diberikan kepada masyarakat Orang Asli bagi tempoh yang sama.

Ia menjadikan 56,524 bilangan Orang Asli sudah disuntik vaksin di negeri itu, katanya.

Menurutnya, penerimaan vaksin dalam kalangan kelompok tersebut semakin mendapat sambutan apabila ada dalam kalangan mereka datang ke klinik kesihatan dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berdekatan bertanya mengenai proses vaksinasi.

Tambahnya, program vaksinasi Orang Asli secara outreach yang dilaksanakan sejak Jun lalu juga menunjukkan prestasi memberangsangkan dan positif.

“Sehingga semalam, sebanyak 497 dos vaksin jenis Cansino telah diberikan kepada masyarakat Orang Asli di Pos Lenjang ini,” katanya selepas program outreach di di Pos Titom di sini hari ini.

Peratus liputan vaksin Orang Asli mengikut daerah untuk dos pertama ialah Bentong (87.8 peratus); Raub (86.6); Bera (80.5); Rompin (77); Temerloh (72.4); Kuantan (67.3); Cameron Highlands (65.6); Maran (64.5); Pekan (56.6); Jerantut (50.7) dan Lipis (47.2).

Ujarnya bilangan masyarakat Orang Asli yang belum divaksinkan ialah seramai 16,917 orang – 11,662 daripadanya ialah masyarakat pinggiran manakala selebihnya, 5,255 masyarakat pedalaman.

Dalam pada itu, jumlah penduduk Pahang yang telah menerima dos satu sudah mencecah 953,928 orang atau 81.1 peratus daripada sasaran 1.175 juta penduduk dewasa berumur 18 tahun dan ke atas.

“Seramai 686,205 orang atau 58.4 peratus pula telah lengkap menerima vaksin di negeri ini.

“Sejumlah 1.103 juta atau 83.7 peratus daripada sasaran penduduk dalam kalangan dewasa berumur 18 tahun dan ke atas di negeri ini, telah berdaftar melalui aplikasi MySejahtera. – MalaysiaGazette