Al-Sultan Abdullan Agong politicking Members of Parliament politics
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli bagi menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 13 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan memorandum persefahaman (MoU) kerjasama rentas parti yang termeterai kelmarin dapat mengakhiri segera kemelut politik dalam negara.

Titah baginda, dengan MoU itu ahli-ahli Dewan Rakyat dapat mengenepikan agenda politik dengan bersatu hati serta bersepakat berusaha menangani pandemik Covid-19 demi kepentingan rakyat dan negara.

Baginda juga mengulangi pandangan bahawa rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan pada ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kelembapan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraya Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadhil Shamsuddin, harapan Al-Sultan Abdullah itu selaras denngan pendirian Raja-Raja Melayu tentang pentingnya pembentukan kerajaan yang stabil dan berfungsi dengan cekap serta berhemah dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis.

“Oleh yang demikian, Seri Paduka Baginda menasihati ahli-ahli Dewan Rakyat supaya memberikan keutamaan kepada kemaslahatan rakyat dan kesejahteraa negara pada sesi sidang Parlimen yang kini sedang berjuang.

“Seri Paduka Baginda turut menasihati Ahli-Ali Dewan Rakyat supaya mengembalikan fokus kepada usaha memerangi pandemik Covid-19 serta membawa kembali sinar kepada rakyat dan negara,” katanya.

Dalam kenyataan Istana Negara itu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan keyakinan selari dengan kestabilan politik dan peningkatan kadar vaksinasi penduduk serta bantuan tambahan oleh kerajaan, proses pemulihan ekonomi negara dapat dipercepatkan.

Bahkan, baginda bertitah, faktor-faktor tersebut juga adalah kunci kepada keyakinan semua pihak yang berkaitan dan para pelabur.

Yang di-Pertuan Agong turut menegaskan bahawa kerajaan perlu mempercepatkan penggubalan dasar-dasar yang mesra perniagaan dan pelabuan bagi meningkatkan lagi daya saing negara.

“Seri Paduka Baginda mengambil kesempatan ini menyeru seluruh rakyat menzahirkan solidariti dan sokongan padu kepada para petugas barisan hadapan dengan bersama berganding bahu berdisiplin mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) serta semua perintah yang telah ditetapkan kerajaan.

“Seri Paduka Baginda turut menyeru seluruh rakyat agar bertenang dan bersama Baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah Subhanahu Wata’ala dari sebarang musibah dan wabak Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” katanya. – MalaysiaGazette