Covid-19 screening tourists Langkawi is ready to receive domestic tourists beginning 16 September 2021 under the pioneer travel bubble project. PIX: AFIQ RAZALI / MalaysiaGazette /13 June 2020
Langkawi is ready to receive domestic tourists beginning 16 September 2021 under the pioneer travel bubble project. PIX: AFIQ RAZALI / MalaysiaGazette /13 June 2020

KUALA LUMPUR – Para pelancong yang akan bercuti ke Langkawi bermula 16 September ini dikehendaki menjalani ujian pengesanan Covid-19 secara mandatori sebelum memulakan perjalanan mereka.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, langkah itu bagi memastikan tidak berlakunya peningkatan kes serta kluster baharu Covid-19 ekoran kelonggaran yang diberikan kerajaan kepada rakyat yang sudah menerima vaksinasi lengkap.

Hanya mereka yang didapati keputusan negatif Covid-19 boleh meneruskan pelancongan ke Langkawi.

Antara faktor yang dipertimbangkan kerajaan dalam melaksanakan projek rintis gelembung pelancongan Langkawi ini termasuk liputan imunisasi lengkap penduduk dewasa di pulau tersebut yang telah mencapai 89.9 peratus manakala 91.8 peratus penduduk dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Selain itu kesediaan operator-operator pelancongan untuk menerima kedatangan pelancong.

“Walau bagaimanapun, projek rintis ini perlu dilaksanakan dengan berhati-hati bagi
memastikan ia berjalan lancar dan tidak menyebabkan berlakunya peningkatan kes
serta kluster baharu.

“Atas sebab itulah, kerajaan perlu memastikan setiap pelancong yang akan bercuti ke Langkawi telah menerima vaksinasi lengkap, bukan kes positif Covid-19 dan bukan kontak rapat kepada kes positif.

“Sehubungan itu, kerajaan telah memutuskan untuk mewajibkan setiap pelancong
yang akan bercuti ke Langkawi bermula 16 September 2021 menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebelum memulakan perjalanan melalui beberapa tiga cara yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pelancong yang akanĀ  ke Langkawi wajib menjalani ujian pengesanan Covid-19 (RT-PCR atau RTK-Antigent) di mana-mana fasiliti kesihatan dan makmal swasta dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh berlepas.

Katanya, keputusan ujian berkenaan hendaklah dibawa bersama untuk pemeriksaan di pintu masuk (lapangan terbang atau terminal feri) sebelum berlepas.

“Atau pelancong juga boleh membeli kit ujian kendiri saliva dan membawanya ke lapangan terbang atau terminal feri untuk menjalani ujian pengesanan Covid- 19 di tempat saringan yang disediakan; atau boleh membeli kit ujian saliva melalui perkhidmatan yang akan disediakan oleh pihak swasta di tempat saringan di lapangan terbang atau terminal feri dan menjalani ujian pengesanan di situ.

“Ujian pengesanan ini akan dilakukan ke atas individu dewasa (18 tahun ke atas) serta remaja dan kanak-kanak berusia 7-17 tahun. Bagi kanak-kanak berusia 6 tahun dan ke bawah, hanya saringan gejala akan dilakukan mengambil kira keupayaan mereka untuk mengeluarkan saliva.

“Kumpulan kanak-kanak ini mesti bersama ibu bapa atau penjaga yang telah lengkap vaksinasi, bukan kes positif atau kontak rapat kepada kes positif dan hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Ujian pengesanan COVID-19 yang dijalankan di lapangan terbang dan terminal feri terlibat akan dipantau dan disahkan oleh anggota kesihatan yang bertugas,” ujarnya.

Beliau juga memberi penekanan pelaksanaan gelembung pelancongan ini tidak bermakna kerajaan memberi kelonggaran kepada masyarakat untuk tidak mengamalkan tindakan kesihatan awam kendiri seperti memakai pelitup muka, penjarakan fizikal dan mencuci tangan dengan kerap.

Tegas Khairy, semua amalan berkenaan kelihatan mudah tetapi ia mampu melindungi kita daripada jangkitan virus Covid-19 dan mencegah daripada berlakunya penularan jangkitan kepada individu lain.

Beliau turut menegaskan, kejayaan untuk membawa negara keluar dari pandemik ini tidak hanya bergantung kepada usaha dan strategi kerajaan tetapi juga sangat bergantung kepada tahap pematuhan masyarakat kepada SOP yang telah ditetapkan.

“Sekiranya masyarakat mengambil mudah kelonggaran yang diberikan, tidak mustahil situasi jangkitan kembali menjadi teruk.

“Sehubungan itu, saya amat berharap agar seluruh masyarakat dapat memanfaatkan kelonggaran yang diberikan dan terus mengamalkan pembudayaan norma baharu dalam menjalani kehidupan seharian kita.

“Ingatlah, kejayaan membendung pandemik ini melibatkan penglibatan dan pendekatan menyeluruh kerajaan serta masyarakat,” ujar Khairy.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 2 September lalu mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk membuka sektor pelancongan di beberapa destinasi di bawah program gelembung perjalanan dengan Langkawi dipilih sebagai projek rintis bermula 16 September ini.

Kejayaan Projek Rintis Langkawi sebagai gelembung pelancongan domestik pertama ini sangat penting dalam menentukan hala tuju pembukaan destinasi gelembung pelancongan domestik yang seterusnya.-MalaysiaGazette