Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) serta pemimpin lain menandatangani memorandum persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik di antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN. MALAYSIA, 13 SEPTEMBER 2021.

PADA hemat penulis, belum pernah terjadi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara pihak kerajaan dan pembangkang di negara ini sebagaimana yang berlaku pada Isnin lalu. Titah Yang di-Pertuan Agong agar semua pihak perlu mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan telah diterjemahkan melalui Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik.

MoU ini merangkumi aspek Pemerkasaan Pelan Covid-19, Transformasi Pentadbiran,
Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia MA63 dan
Pembentukan Jawatankuasa Pemandu. Ini adalah salah satu bentuk kolaborasi politik yang pernah disarankan oleh lebih 70 badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan masyarakat madani (CSO) pada November tahun lalu, termasuk saranan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) pada bulan lalu.

“Kolaborasi politik sebegini amat kritikal demi kepentingan rakyat dan negara. Melalui
kolaborasi ini diharap kekuatan dan kepakaran kedua-dua belah pihak akan dapat
dimanfaatkan untuk kebaikan rakyat dan negara,” kata Presiden IKRAM, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad dalam satu kenyataan media.

Bukan mudah untuk menjayakan persefahaman ini. Sama ada pihak kerajaan atau
pembangkang, masing-masing ada kepentingan dan pandangannya yang berbeza antara satu sama lain dalam mentadbir urus negara. Namun atas titah Agong, kepentingan negara dan jiwa besar kedua-dua belah pihak, persefahaman ini dapat dijayakan bermula dengan pertemuan antara Perdana menteri dan pihak pembangkang pada bulan lalu, kita dapat lihat hasilnya melalui tandatangan MoU yang bersejarah tersebut.

Secara zahirnya, MoU ini banyak memberikan manfaat dalam memulihkan keadaan negara yang sedang menghadapi cabaran getir pandemik Covid-19 terutamanya dalam sektor kesihatan, pendidikan dan ekonomi. Persefahaman sebegini dilihat amat positif bagi memastikan negara berada di landasan yang tepat untuk dipulihkan tanpa diganggu-gugat dengan agenda politik tertentu yang rakus merebut kekuasaan.

Jika persefahaman ini tidak berlaku, boleh jadi negara bakal menyaksikan lagi pertukaran demi pertukaran kerajaan dan Perdana Menteri setiap tahun sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 yang menggambarkan ketidakstabilan situasi politik negara. Melalui persefahaman ini, walaupun ahli-ahli parlimen pembangkang tidak berada dalam kerajaan, mereka masih boleh menyumbang dengan cara yang lain untuk membantu memulihkan negara, selain mengemukakan usul dan berbahas dalam persidangan Dewan Rakyat.

Justeru, kerjasama pihak kerajaan dan pembangkang melalui MoU ini dilihat mampu
menstabilkan keadaan itu dan selari dengan titah Agong, “Sesungguhnya yang menang tidak menang semua, dan yang kalah tidak kalah semua.” Namun begitu, rakyat masih menunggu hala tuju, kayu ukur dan keberkesanan MoU ini dalam lima aspek tersebut. Aspek-aspek ini wajar diperhalusi dan diperincikan langkahnya untuk tatapan umum agar rakyat dapat mengetahui kemajuan hasil MoU tersebut.

Adakah kes Covid-19 mampu ditangani? Ada berlaku transformasi dalam pentadbiran negara? Adakah wujud pembaharuan dalam parlimen? Adakah institusi kehakiman negara benar-benar bebas? Adakah Perjanjian Malaysia MA63 akan dikaji semula dan ditambah baik? Adakah Jawatankuasa Pemandu berfungsi dengan sebaik-baiknya?

Pada saat genting seperti pandemik Covid-19 ini, tidak dapat tidak pihak kerajaan dan
pembangkang perlu serius dalam melaksanakan kandungan MoU yang telah dipersetujui demi memastikan negara dapat dipulihkan dengan segera dalam pelbagai sektor dengan jayanya.

Mohammad Hafizuddin Abdul Mukti
Pegawai Penyiaran dan Komunikasi
Pertubuhan IKRAM Malaysia