KUALA LUMPUR – Kerajaan menaikkan kadar Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada RM500 kepada RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah yang terjejas ketika Monsun Timur Laut atau yang lain-lain bencana yang diisytiharkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif yang melibatkan peruntukan lebih RM39.5 juta daripada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara itu dijangka dapat meringankan beban lebih 39,100 ketua isi rumah.

Ujar beliau, bantuan itu merupakan antara pendekatan baharu yang diambil kerajaan dalam usaha menambah baik pengurusan dan kesiapsiagaan menghadapi monsun timur laut yang dijangka berlaku pada awal November 2021 hingga penghujung Mac 2022, melibatkan negeri-negeri seperti Pantai Timur, Johor, Sabah, dan Sarawak.

Katanya, keputusan berkenaan dibuat ketika beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP), 13 September 2021 yang lalu.

“Keputusan menaikkan kadar bantuan ini, membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap mangsa bencana ditambah pula dengan impak ekonomi rakyat akibat pandemik Covid-19,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Ismail Sabri, bantuan itu bukan pampasan atau ganti rugi terhadap kerosakan rumah dan harta benda yang dialami mangsa, sebaliknya ia diberi untuk mengurangkan beban yang ditanggung penduduk.

Dalam masa yang sama, Perdana Menteri turut memgumumkan peruntukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)
kepada Negeri Sabah berjumlah RM 18,241,250 bagi melancarkan proses menguruskan tindak balas bencana agar kebajikan rakyat yang terjejas sentiasa dipelihara.

Katanya, peruntukan itu adalah bagi perolehan 2,000 unit Kit Makanan (RM160,000), pembelian 2,500 unit C-Tent (RM961,250), operasi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (RM20,000), operasi 22 daerah Jawatankuasa Pengurusan Bencana (RM1.1 juta) dan Pengurusan operasi Covid-19 di Sabah (RM16 juta).

“Saya berharap sebahagian daripada peruntukan ini dapat digunakan untuk pengurusan bencana dan meringankan beban mangsa-mangsa kejadian tanah runtuh di Penampang, Sabah semalam. Saya turut bersimpati kepada keluarga mangsa yang terkorban,” tambahnya.

Pengumuman berkenaan dibuatnya semasa mengadakan lawatan rasmi ke Sabah hari ini.

Ismail berkata, antara pendekatan baharu yang diputuskan pada mesyuarat JPBP adalah Pembangunan Sistem eSumbangan badan bukan kerajaan (NGO) sebagai platform penyelarasan bantuan antara penderma dan NGO kepada mangsa bencana.

“Bantuan perlu melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat/negeri/daerah supaya penyelarasan bantuan dapat dilakukan lebih lancar dan sistematik.

“Badan sukarela yang ingin melakukan pergerakan menghantar bantuan, perlu mendapat kebenaran daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat/negeri/daerah terlebih dahulu memandangkan jawatankuasa peringkat tempatan lebih arif dengan kehendak dan keperluan mangsa di kawasan terjejas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette