Mohd Shuhaily meninjau kawasan Pantai Miami di Batu Feringghi di sini hari ini.

BATU FERINGGHI – Pemantauan selama empat hari bermula hari ini sehingga Ahad di lokasi pelancongan sekitar Pulau Pinang akan menjadi indikator kepada pihak polis bagi mencadangkan kawasan berkenaan terus boleh dikunjungi orang awam atau sebaliknya.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, langkah cadangan penutupan akan diutarakan kepada pihak berkaitan jika pemantauan polis dalam tempoh itu mendapati berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) di kawasan berkenaan.

“Saya percaya pada hari cuti umum ini sehingga hujung minggu, orang ramai akan keluar beriadah atau bercuti justeru, kita akan melakukan pemantauan dan rondaan bagi memastikan mereka mematuhi SOP.

Mohd Shuhaily (kiri).

“Kita akan menempat dan mengarahkan anggota merakamkan gambar sebagai bukti atau keperluan kepada agensi lain sekiranya lokasi itu perlu ditutup,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd Shuhaily dan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong meninjau pusat beli-belah serta kawasan riadah bagi memantau tahap pematuhan orang ramai berhubung SOP Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara.

Antara lokasi yang ditinjau termasuk Pantai Miami, Shamrock serta pusat beli-belah di Persiaran Gurney di sini.

Kawasan Pantai Miami menjadi tumpuan orang awam ketika cuti umum.

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata, buat masa ini pihaknya mengambil pendekatan menasihati pengunjung untuk terus mematuhi SOP, namun tundakan tegas akan diambil jika jumlah jangkitan meningkat.

“Berdasarkan pemantauan hari ini tiada pertambahan jumlah pengunjung tetapi kita dapati ada dalam kalangan mereka (pengunjung) gagal mematuhi SOP ditetapkan.

“Sudah dua tahun berlalu, nasihat demi nasihat sudah diberi kini terpulang kepada tanggungjawab orang awam pula,” kata Mohd Shuhaily.

Dalam perkembangan sama, Mohd Shuhaily turut menasihatkan penunggang basikal untuk terus mematuhi SOP dan menjaga keselamatan ketika melakukan aktiviti riadah berkenaan. – MalaysiaGazette