Lapan suspek  disyaki terbabit dalam insiden pembuangan sisa kimia industri terjadual berbahaya di Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Kempas pada  Selasa lalu dilepaskan daripada tahan reman hari ini dengan jaminan polis.

JOHOR BAHRU – Lapan suspek  disyaki terbabit dalam insiden pembuangan sisa kimia industri terjadual berbahaya di Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Kempas pada  Selasa lalu dilepaskan daripada tahan reman hari ini dengan jaminan polis.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, kesemua suspek berkenaan dibebaskan  selepas keterangan mereka selesai dirakam agensi berkenaan.

“Tahanan telah lengkap diambil keterangan dan dibebaskan. Pegawai penyiasat kami sedang melengkapkan kertas siasatan. Kami akan maklumkan bila kita buat pertuduhan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Mohd Famey memberitahu,kertas siasatan berhubung perkara itu mungkin mengambil sedikit masa ekoran Pelaksanaan Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ketika ini pegawai siasatan JAS sedang melengkapkan kertas siasatan insiden pembuangan sisa kimia di Kempas tetapi mungkin ia sedikit lewat disebabkan beberapa faktor terutama kita dalam PKP,” katanya.

Pada Khamis lalu, lapan suspek yang disyaki terbabit dalam insiden pembuangan sisa kimia industri terjadual berbahaya itu direman tiga hari bermula Khamis lalu.

Baru-baru ini empat penduduk Kampung Baru Sri Aman, Seelong pengsan  manakala ratusan lagi terpaksa dipindahkan selepas terhidu bau busuk disyaki bahan kimia daripada Sungai Tawakal berhampiran kawasan berkenaan.

Pada kejadian kira-kira jam 8.30 malam Selasa lalu, empat wanita berusia antara 22 hingga 49 tahun itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

Manakala, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, sembilan suspek sudah ditahan membabitkan lima warga tempatan serta empat warga asing selain pemilik premis bagi membantu siasatan insiden pembuangan sisa kimia itu.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Dua penduduk pengsan akibat pencemaran bau