Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan bersama Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz (kanan) menyampaikan sumbangan kepada waris mangsa kemalangan jalan raya T. Poongkoathai (tiga kiri) semasa menziarahi mereka di Puchong Perdana, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 18 SEPTEMBER 2021.

PUCHONG – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) hari ini menziarahi dan menyerahkan sumbangan kepada waris mangsa kemalangan jalan raya yang meninggal dunia pada 21 Mei lalu.

Penyerahan sumbangan berupa Kotak Prihatin PERKESO dibuat oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan dan Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohamed Azman Aziz Mohammed yang berkunjung ke kediaman waris mendiang Vijaya Kumaran Veerasamy, 52, di Taman Puchong Perdana di sini.

Hadir sama Ketua Pegawai Komunikasi, Izad Raya; Pengarah Perkeso Kuala Lumpur, Mustafa Draman dan Pengurus Kes Kuala Lumpur, Mustaqim Wali Abdul Khalid.

Balu mendiang, T. Poongkoathai, 49, bersama dua anak perempuannya, V. Thibaanageswari, 21 dan V. Vishva Rubini, 19, layak menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) sebanyak RM2,322 sebulan dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000. Kesemua faedah ini telahpun mula dibayar kepada waris sejak tiga bulan yang lalu.

Saravanan ketika ditemui pemberita berkata: “Ini adalah kes klasik di mana mendiang tidak sedar dia boleh mendapat (bantuan) daripada Perkeso walaupun dia bekerja dengan Alam Flora.

“Apabila dia menghadapi kemalangan, mereka cuba cari dana di luar, apabila perkara ini dibawa kepada perhatian saya, saya minta Perkeso semak nombor kad pengenalan, memang dia layak.”

Mendiang Vjiaya yang merupakan pekerja pengurusan sisa pepejal yang meninggal dunia pada 21 Mei lalu setelah mengalami komplikasi pada otak akibat kemalangan pada 12 April 2020.

Mangsa yang berusia 52 tahun terlibat dalam kemalangan ketika perjalanan pulang bekerja dari ibu negara ke Puchong.

Nahas tersebut menyebabkan mendiang mengalami kecederaan otak traumatik teruk sehingga terpaksa menjalani pembedahan implan tempurung kepala sebelah kiri dan perlu menjalani rawatan perubatan di hospital.

Pada November tahun lalu, Saravanan sempat meluangkan masa melawat dan menyerahkan sendiri faedah Perkeso kepada mendiang berjumlah RM23,000 bagi kos pembedahan dan rawatan perubatan ditanggung sepenuhnya Perkeso di Hospital Kuala Lumpur.

Sementara itu dalam sidang media itu, beliau berkata, kerajaan sedang mengkaji cadangan  untuk menyediakan perlindungan menerusi PERKESO kepada kira-kira 2 juta isteri kepada pencarum dalam kalangan golongan berpendapatan rendah (B40) secara percuma.

Katanya, langkah itu bagi memastikan pasangan pencarum yang merupakan suri rumah dilindungi sekiranya pencarum ditimpa musibah atau kemalangan.

“KSM melalui PERKESO sedang mengkaji dan mencadangkan kepada kerajaan supaya lebih kurang 2 juta isteri yang suri rumah tangga perlu diberi perlindungan Perkeso secara percuma, tapi terpulang kepada kedudukan kewangan kerajaan.

“Apabila suami sahaja bekerja, semasa Covid-19 suami kehilangan kerja dan  isteri menghidapi penyakit kronik maka tiada sebarang jaringan keselamatan.

“Sebagai kerajaan prihatin lebih mengutamakan rakyat, kami telah mencadangkan supaya kerajaan menimbang permohonan kami untuk memberi perlindungan jaringan keselamatan percuma,” katanya.

Katanya, beliau bersama pihak PERKESO juga  telah mengadakan perbincangan mengenai cadangan itu dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), baru-baru ini.

“Saya bersama pihak PERKESO telah berbincang dengan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun mengenai perkara ini.

“Saya percaya kalau saya berjaya mungkin kita dapat memberikan jaringan keselamatan kepada 2 juta wanita dalam kalangan B40,” katanya. – MalaysiaGazette