Petugas kesihatan merawat pesakit Covid-19 ketika tinjauan eksklusif Malaysia Gazette di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 04 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Terdapat 1,194 pesakit kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, sebanyak 882 kes disahkan positif Covid-19 manakala, 312 lagi disyaki menghidap jangkitan wabak tersebut, kata Ketua Pengarah, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, daripada junlah itu juga sebanyak 665 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

“Terdapat 23,469 kes sembuh baharu menjadikan jumlah yang pulih sepenuhnya daripada wabak itu kini 1,863,922 kes,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 19 lagi kluster baharu Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam lalu.

Pertambahan itu menjadikan bilangan keseluruhan kluster negara ini sebanyak 5,282.

Terdapat 1,348 kluster dikategorikan masih aktif dan setakat hari ini jumlah kluster yang telah ditamatkan adalah 3,934.

Data yang dikongsikan laman sesawang COVIDNOW hari ini memaklumkan, sebanyak 14,954 kes baharu Covid-19 dikesan di negara setakat pukul 12 tengahari hari tadi.

Daripada jumlah itu sebanyak 14,943 merupakan jangkitan daripada penularan tempatan manakala, 11 lagi adalah kes import.

Data berkenaan turut menunjukkan, sebanyak 324 kematian direkodkan termasuk tunggakan kes (backlog) yang belum dilaporkan sebelum ini. – MalaysiaGazette