Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin Covid-19.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu adalah usaha kerajaan untuk meningkatkan perlindungan kepada golongan rentan daripada risiko jangkitan Covid-19.

“Keutamaan pemberian dos ketiga ini akan tertumpu kepada kumpulan yang berisiko tinggi terlebih dahulu seperti anggota barisan hadapan kesihatan, pesakit kurang daya tahan imun (immunocompromised), warga tua dengan komorbiditi dan individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan jangka panjang (long-term care facilities), apabila liputan imunisasi populasi dewasa di seluruh negara melebihi 80 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, dos ketiga ini dapat meningkatkan tahap imuniti dalam kalangan individu berisiko tinggi terhadap jangkitan COVID-19, yang mungkin menurun dalam tempoh tertentu selepas dos kedua.

“Untuk itu, panel pakar perubatan dan kesihatan sedang membangunkan garis panduan pelaksanaan pemberian dos ketiga ini.

“Kesemua perincian berhubung pelaksanaan Pakej Penjagaan Covid-19 dan pemberian dos ketiga vaksin COVID-19 akan diumumkan oleh Menteri Kesihatan,” tambah Ismail Sabri lagi.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan hari ini memperuntukkan RM471.6 juta dibawah Pakej Penjagaan Covid-19 (PPC) dalam usaha memastikan golongan B40  dan keluarga mereka bebas daripada jangkitan Covid-19.

“Pemberian PPC buat masa ini akan dimulakan dengan penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang sudah berkeluarga. Mereka ini adalah dalam kalangan isi rumah B40 yang sudah berkahwin dengan ada atau tidak mempunyai anak; ataupun ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak.

“Inisiatif ini dijangka akan memberi manfaat kepada lebih kurang 3.6 juta keluarga B40. Secara keseluruhannya terdapat 8.4 juta penerima BPR,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bantuan itu, kata Ismial Sabri, merangkumi pek pelitup muka guna semula, kit ujian kendiri Covid-19, satu unit peranti bagi memantau tahap oksigen atau ‘pulse oximeter’, satu termometer dan risalah panduan penggunaan dan info kesihatan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. YANG SEBEBNARNYA BERAPA COMPLETE DOS UNTUK AMBIL VAKSIN COVID INI?
    ADAKAH SELEPAS AMBIL YANG KETIGA AKAN ADA AMBILAN YANG KE 4,5,6??
    SIAPAKAH YANG MENETAPKAN SEMUA INI??

Comments are closed.