Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Sebanyak 500,000 masalah ketiadaan paparan sijil vaksin digital di dalam aplikasi berjaya diselesaikan MySejahtera dalam tempoh seminggu lalu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, sistem itu akan terus mengemaskini maklumat penerima vaksin dari semasa ke semasa.

“Bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap tetapi masih belum menerima sijil vaksin digital di dalam aplikasi MySejahtera, anda boleh menggunakan kad vaksinasi fizikal untuk memanfaatkan kemudahan bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Khairy, sebanyak 71,408 aduan yang diterima mengenai paparan sijil digital vaksin berpunca daripada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tidak melengkapkan proses dokumentasi setelah individu selesai menerima vaksin.

Bagi isu itu katanya, MySejahtera sedang membuat penyelarasan dengan PPV yang terlibat untuk pastikan pengguna akan terima paparan sijil digital vaksin di dalam MySejahtera.

“Saya juga ingin mengingatkan para petugas PPV supaya semak dan pastikan setiap penerima vaksin telah menerima sijil vaksin digital di dalam aplikasi MySejahtera sebelum mereka meninggalkan PPV,” ujarnya.

Dalam pada itu katanya, terdapat aduan daripada individu yang menerima vaksin di PPV yang bukan dikendalikan oleh KKM dan ProtectHealth Corporation (Protect Health).

Masalah itu katanya, berlaku kerana PPV-PPV itu tidak menggunakan sistem MySejahtera.

Tambah beliau, situasi itu menyebabkan sijil vaksin digital tidak dapat dipaparkan di dalam aplikasi MySejahtera sebaik sahaja proses pemberian vaksin selesai.

Katanhya lagi, sijil digital tersebut hanya akan dipaparkan di dalam MySejahtera setelah PPV bukan kendalian KKM atau yang dikendalikan ProtectHealth menghantar maklumat kepada MySejahtera. – MalaysiaGazette