Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bersama Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin beramah mesra dengan sebahagian pelajar semasa mengadakan lawatan kerja ke Program Vaksinasi Covid-19 ÒBack To SchoolÓ Peringkat Kementerian Pertahanan di Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Tun Hussein Onn, Kem Kementah, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 20 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Seramai 5,887 orang pelajar berumur 12 hingga 17 tahun di sekolah-sekolah dalam kem Angkatan Tentera Malaysa (ATM) akan menerima vaksin Covid-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin  Hussein berkata, kementeriannya bekerjasama penuh dengan Kementerian Pendidikan untuk memastikan seluruh pelajar dalam negara divaksin sebelum sesi persekolahan dibuka semula tahun hadapan.

“Mengambil kira vaksinasi sebagai antara perlindungan terbaik daripada kesan jangkitan Covid-19, ATM komited untuk segera memulakan kerjasama ini melalui Program Vaksinasi Back To School,” katanya ketika sidang media bersama Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jiddin selepas di Sekolah Menengah Kebangsaan (AMK) Desa Tun Hussein Onn hari ini.

Sekolah dalam kem ATM itu antara yang memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja hari ini.

Menurut Hishammuddin, seramai 255 pelajar Tingkatan 4 dan 5 sekolah berkenaan yang menerima suntikan vaksin pada hari ini.

Manakala baki 675 pelajar lagi dijangka selesai menerima suntikan masing-masing pada 24 September.

Selain SMK Desa Tun Hussein Onn, empat lagi sekolah menengah dalam kem-kem ATM adalah Maktab Rendah Sains Mara Kem Terendak, SMK Kem Terendak, SMK Pangkalan TLDM dan SMK Tanjung Pengelih, Johor.

Sementara itu, Hishammuddin berkata ATM bersedia mengatur Tim Suntikan Bergerak Perkhidmatan Kesihatan pada bila-bila masa diperlukan oleh Kementerian Pendidikan untuk membantu melancarkan PICK Remaja.-MalaysiaGazette