Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. Foto SYAFIQ AMBAK, 08 MEI 2021.

PUTRAJAYA – Sebanyak 23 kluster baharu jangkitan Covid-19  dikesan hari ini yang membabitkan 529 kes.

Daripada jumlah itu, sebanyak 13 kluster dikenalpasti sebagai kluster tempat kerja membabitkan 310 kes manakala lapan lagi adalah kluster komuniti (165 kes).

Dua kluster masing-masing dikesan sebagai kluster kumpulan berisiko tinggi (30 kes) dan kluster import (24 kes).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, berikutan itu jumlah kluster adalah sebanyak 5,305 kluster.

Tambah beliau, daripada jumlah tersebut sebanyak 3,970 kluster telah ditamatkan manakala kluster masih aktif adalah sebanyak 1,335.

Katanya, daripada 13 kluster tempat kerja, lima dikesan di negeri Johor membabitkan empat daerah iaitu Batu Pahat, Muar, Kota Tinggi dan Kulai.

“Manakala tiga di Kinta dan Manjung, Perak, Kelantan (dua) dan masing-masing satu di Kinabatangan, Sabah; Kuala Langat Selangor dan Alor Gajah di Melaka.

“Justeru daripada lapan kluster komuniti, empat dikesan masing-masing satu di daerah Beluru, Bintulu, Limbang dan Tatau di Sarawak.

“Tiga lagi kluster komuniti dilaporkan di Kota Bharu dan Pasir Mas di Kelantan dan akhirnya satu di Kuantan, Pahang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham berkata, kluster komuniti di Pasir Mas iaitu di Kampung Belukar Aur Cina yang mana kluster ini melibatkan individu-individu yang mengadakan aktiviti ziarah-menziarahi di Kampung Belukar Aur Cina, Pasir Mas.

Katanya, kes indeks bagi kluster komuniti di Pasir Mas merupakan seorang kanak-kanak perempuan warga tempatan berumur 10 tahun yang dilaporkan positif pada 17 September lalu hasil saringan individu bergejala dan kes mula bergejala pada 10 September lepas.

“Manakala satu kes kumpulan berisiko tinggi pula dikesan di Kluang Jobor disusuli Kluster Import pula dikenalpasti di Johor Bahru.

“Kluster Import berkenaan ini dikenalpasti di Tompok Utara Satu Johor Bahru hasil saringan bersasar melibatkan kru sebuah kapal yang berlabuh di Tompok Utara, Perairan Johor Timur, Johor Bahru.

“Kapal ini mempunyai sejarah perjalanan dari pelabuhan Singapura dan Indonesia sebelum berlabuh di Johor pada 15 September 2021,” ujarnya. – MalaysiaGazette