Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini diberitahu kerajaan sedang membincangkan untuk membenarkan pelancongan merentas negeri.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia bagi menyelamatkan industri pelancongan yang semakin tenat kerana penularan pandemik Covid-19.

“Kita akan bincang dalam dua tiga hari ini untuk membuka pelancongan rentas negeri. Bila rentas negeri itu dibuka, maka orang luar boleh masuk ke negeri-negeri lain,” katanya dalam sesi soalan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA) yang mahu beberapa lagi gelembung pelancongan direncanakan oleh kementerian berkenaan.

Jelas Nancy, selain Langkawi yang menjadi destinasi rintis gelembung pelancongan bermula 16 September lalu, banyak lagi kawasan lain di Semanjung, Sabah dan Sarawak akan dibuka bagi tujuan pelancongan.

“Kita telah senaraikan nama-nama destinasi bukan sahaja pulau tetapi kawasan lain seperti Genting Highands, Cameron Highlands, Fraser Hill’s yang boleh menarik minat orang untuk bergerak.

“Sebab pelancongan adalah mengenai pergerakan, apabila mereka bergerak maka ekonomi kita juga boleh meningkat, itu yang kita nak.

“Pada masa yang sama, kita nak bantu mereka yang terjejas dengan sektor ini, maka sama-samalah kita nak bantu keluarga yang terkesan dan tidak ada pendapatan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Nancy turut memberitahu Dewan Rakyat yang sektor pelancongan mengalami kerugian kira-kira RM130 bilion pada tahun lepas akibat pandemik.

“Jumlah ini dianggar terus meningkat pada tahun 2021, lebih-lebih lagi dengan pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang masih diteruskan,” jawab beliau kepada soalan asal oleh Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai (DAP). – MalaysiaGazette