Datuk Mahfuz Omar. Sheraton Move party hopping anti-party hopping dewan rakyat parliament
Mahfuz Omar

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mencadangkan agar kerajaan memberikan kerusi Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat kepada pembangkang

Menurut beliau, langkah itu ia akan dapat mewujudkan kestabilan politik selepas memorandum persefahaman (MoU) kerajaan dengan gabungan Pakatan Harapan (PH) ditandatangani pada minggu lalu.

“Kalau kerajaan niat murni untuk memposisikan wakil pembangkang berada di satu kerusi Timbalan Speaker saya bersetuju, tetapi untuk menambah seorang lagi (dari kerajaan) saya tidak fikir selepas kita melambakkan 70 orang jemaah menteri yang 80 peratus daripada kerajaan sebelum ini.

“Kita nak tambahkan lagi beban rakyat hanya semata-mata krisis politik yang tidak dapat diselesaikan oleh BN dan PN lalu kita nak bebankan lagi rakyat,” katanya ketika membahaskan Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Jelas beliau, kerajaan harus jujur dan ikhlas untuk memastikan proses persefahaman tersebut perlu dilaksanakan oleh pihak kerajaan bagi memastikan bahawa rakyat mempunyai keyakinan terhadap kerajaan.

“Saya fikir dengan hanya satu jawatan Timbalan Speaker ia membabitkan wang rakyat, jadi sebab itu adalah tidak wajar kalau kerajaan jujur ayuh berikan ruang kepada pembangkang kerusi Timbalan Speaker,” katanya.

Dalam pada itu, media melaporkan bahawa Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming dihalang daripada mempengrusikan sidang Dewan Rakyat untuk sesi petang, hari ini.

Memetik laporan Sin Chew Daily, Kor Ming didakwa dihalang seorang ‘menteri kanan Kabinet’ untuk mempengerusikan sidang petang itu.

Bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu dilaporkan telah diundang secara bertulis untuk mempengersikan sidang itu oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Laporan itu menyebut bahawa keputusan berkenaan ditarik balik susulan satu tekanan daripada ‘menteri kanan Kabinet’ tersebut yang menghubungi Azhar Azizan pada jam 1.50 tengah hari tadi ketika wakil rakyat sedang berehat. – MalaysiaGazette