Mahkamah Tinggi hari ini mengarahkan ahli perniagaan, J. Deepak untuk menyampaikan notis pihak ketiga kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan tujuh yang lain dalam kes saman yang difailkan oleh keluarga penyiasat persendirian, mendiang P. Balasubramaniam.
Deepak Jaikishan

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan ahli perniagaan, Deepak Jaikishan untuk menghidupkan saman yang dikemukakan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Selain Deepak, dua lagi pihak iaitu adik ahli perniagaan itu, J Rajesh dan Carpet Raya Sdn. Bhd. turut memohon menghidupkan saman tersebut.

Ketiga-tiga pihak itu memfailkan saman berhubung cukai yang dikenakan terhadap mereka selepas didakwa bertindak sebagai proksi bagi pasangan suami isteri itu.

Tiga panel Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah bersama-sama Datuk Azizah Nawawi dan Datuk S. Nantha Balan sebulat suara menolak rayuan tersebut.

Sebaliknya panel hakim itu  memerintahkan ketiga-tiga mereka untuk membayar kos RM10,000 kepada Najib dan Rosmah manakala RM10,000 lagi kepada Abdul Azeez.

Kata Mohamad Zabidin dalam penghakim bersama, pihaknya berpuas hati dengan Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang betul ketika membatalkan tuntutan saman tersebut.

“Rayuan ini tiada merit kerana pernyataan tuntutan tersebut jelas tidak dapat dikekalkan dan akan gagal jika perbicaraan diteruskan,” katanya pada prosiding atas talian hari ini.

Peguam Daniel Annamalai mewakili perayu-perayu manakala David Mathews mewakili Najib serta Rosmah dan Datuk Prem Ramchandran mewakili Abdul Azeez.

Mahkamah Tinggi pada 16 Julai tahun lalu yang membatalkan tuntutan samannya terhadap ketiga-tiga pihak berhubung cukai yang dikenakan selepas didakwa bertindak sebagai proksi bagi pasangan itu.

Ketika itu, Pesuruhjaya Kehakiman Quay Chew Soon membuat keputusan selepas membenarkan permohonan Najib, Rosmah dan Abdul Azeez setelah berpuas hati kes plaintif jelas tidak dapat dikekalkan.

Dalam saman terdahulu, saman difailkan oleh Deepak pada November 2018 mendakwa antara 2004 dan 2010, beliau dan Carpet Raya bertindak sebagai ejen kepada Najib dan Rosmah dalam urus niaga tanah serta urusan perniagaan seperti yang diarahkan oleh pasangan itu.

Dakwa Deepak, Abdul Azeez turut bertindak sebagai ejen untuk Najib dan Rosmah untuk menjalankan urus niaga serta bertindak sebagai perantara antara pasangan dan plaintif kedua, Carpet Raya.

Deepak mendakwa, ekoran transaksi itu beliau menerima surat daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bertarikh 2 Mac 2018 supaya menyelesaikan tunggakan cukai yang dikenakan terhadap Carpet Raya dan cukai pendapatan berjumlah lebih RM6 juta tidak termasuk caj penalti dan faedah.

Deepak mendakwa dia menerima surat berkenaan selepas hubungannya dengan pasangan itu menjadi keruh pada 2012 kerana enggan patuh arahan mereka dalam kes sivil yang membabitkan penyiasat persendirian P Balasubramaniam.

Dia turut mendakwa Najib dan Rosmah mengarahkan tindakan undang-undang dibuat terhadap Carpet Raya dan petisyen penggulungan difailkan terhadap syarikat itu pada 22 Mac 2017 oleh LHDN.

Akibatnya perniagaan dan reputasi terjejas dan Deepak juga dilarang meninggalkan negara ini selain kemudahan perniagaan mereka ditarik balik oleh Maybank manakala kontrak syarikat dengan IKEA dibatalkan.

Kata plaintif, Najib dan Rosmah bertanggungjawab membayar tunggakan cukai syarikat mereka. – MalaysiaGazette