Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bersama Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin dengan sebahagian pelajar yang akan divaksin pada ‘Kick Off’ Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di SMK Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 20 SEPTEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mensasarkan 60 peratus remaja di bawah 18 tahun  menerima vaksin Covid-19 dos pertama menjelang November ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam masa yang sama berkata, kira-kira 80 peratus daripada golongan itu pula dijangka akan menerima dua dos lengkap pada Januari tahun depan.

Menurutnya, sehingga 16 September lalu, seramai 85,076 remaja berumur 16 dan 17 tahun di Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah telah menerima vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja.

Tambahnya,  hari ini giliran negeri-negeri lain pula melaksanakannya termasuklah di Lembah Klang.

“Bagi negeri-negeri yang mempunyai bekalan vaksin mencukupi maka saya telah berbincang dengan Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) untuk kita benarkan melaksanaknnya secara keseluruhan,” katanya ketika hadir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 8(1) bagi meninjau pelancaran PICK Remaja hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Jelas Khairy, PICK Remaja itu dilaksanakan melalui beberapa kaedah termasuklah secara jangkau luar (outreach) yang menumpukan remaja di kawasan pedalaman.

Katanya lagi, selain menunggu jadual temu janji yang diberikan oleh pihak sekolah, remaja bawah 18 tahun boleh ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang akan disenaraikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk kaedah walk in.

Namun Khairy mengingatkan bahawa kaedah ini mewajibkan ibu bapa atau penjaga untuk turut hadir menemani remaja ketika menerima vaksin dengan surat kebenaran.

“Alang-alang PPV kita masih beroperasi, kita akan umum PPV di negeri-negeri untuk remaja walk in. Jadi ada dua keaedah iaitu tunggu atau terus ke PPV,” tambahnya.

Katanya lagi, selain petugas pengamal perubatan daripada klinik swasta juga akan membantu menjayakan PICK Remaja ini.

Dalam pada itu, atas nasihat KKM, Khairy menyeru remaja yang baharu menerima vaksin dinasihat untuk tidak melakukan aktiviti kecergasan selama seminggu.

Pasukan Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja (CITF-A) turut menjangkakan seramai 3.2 juta kanak-kanak memperoleh perlindungan vaksin dalam masa tiga bulan program berlangsung.-MalaysiaGazette