Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Hussin(dua dari kiri) bercakap pada sidang media mengenai rampasan dadah di Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Serdang, Selangor. Foto FARHAN MAHAMAD, 20 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Polis berjaya merampas sebanyak 174 guni mengandungi serbuk berwarna perang atau nama saintifiknya, ephedrine – sejenis kimia yang digunakan untuk menghasilkan metaphethamine dan methyl​enedioxy-​methamphetamine (MDMA).

Rampasan itu dibuat selepas polis melakukan beberapa siri serbuan sebelum menumpaskan satu sindiket yang terlibat dalam pengedaran dan penjualan dadah jenis kokain ke negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, pasukannya dan JSJN Selangor telah melakukan serbuan di tujuh lokasi berlainan iaitu enam di Selangor dan satu di Kuala Lumpur.

Dalam siri serbuan itu, pihaknya berjaya menahan tujuh suspek sindiket terbabit antara 10 hingga 16 September lalu.

Kesemua suspek terdiri daripada dua individu tempatan termasuk wanita dan lima warga asing termasuk seorang wanita berusia lingkungan antara 27 hingga 57 tahun dan berjaya menemui dadah jenis kokain sejumlah 4.87 kilogram bernilai lebih RM50 juta.

“Mereka telah dilibatkan dalam ujian saringan air kencing dan salah seorang suspek berusia 57 tahun disahkan positif ganja dan kesemua mereka direman sehingga 24 September ini untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Hussin bercakap pada sidang media mengenai rampasan dadah di Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Serdang, Selangor. Foto FARHAN MAHAMAD, 20 SEPTEMBER 2021.

“Hasil siasatan dan risikan awal selama lebih enam bulan lalu mendapati sindiket ini bukan sahaja membawa masuk kokain untuk dijual di dalam negara malah mereka menjadikan Malaysia sebagai transit untuk mengedar dan menjual dadah kokain ke negara Timur Tengah iaitu Qatar dan juga Hong Kong.

“Selain daripada tujuh serbuan itu, salah satu serbuan telah dilaksanakan di sebuah rumah kedai di Seri Kembangan dan hasilnya kita berjaya menjumpai 174 guni serbuk keperangan yang beratnya dianggarkan 5.5 tan,” katanya dalam sidang media kejayaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang dekat sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dan Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA. Anbalagan Arumugam.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan rumah kedai yang dijumpai 174 guni serbuk keperangan itu disyaki dijadikan tempat menyimpan dan makmal memproses dadah.

Menurutnya, ujian awal JSJN menggunakan peralatan yang ada mendapati serbuk keperangan bernama ephedrine adalah sejenis kimia yang digunakan untuk menghasilkan metaphethamine dan methyl​enedioxy-​methamphetamine (MDMA).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Hussin bercakap pada sidang media mengenai rampasan dadah di Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Serdang, Selangor. Foto FARHAN MAHAMAD, 20 SEPTEMBER 2021.

Dalam pada itu katanya, polis juga merampas sejumlah besar wang tunai, kenderaan mewah dan jam tangan mewah kesemuanya bernilai RM1.22 juta disyaki milik sindiket berkenaan.

“Kita percaya sindiket ini aktif lebih enam bulan dalam pengedaran kokain dalam negara ini manakala pembeli barang terlarang itu adalah di dalam dan luar negara.

“Kita juga sedang menjalankan siasatan mendalam untuk mendapatkan maklumat barang kokain ini dibawa masuk dari negara mana sama ada dari Columbia, Mexico atau negara-negara lain memandang kokain sangat popular di benua Amerika,” ujarnya.

Razarudin diminta mengulas apakah sindiket dadah beralih dari syabu kepada trend mengedar kokain ke dalam Malaysia memandangkan barang berkenaan tidak popular dalam negara.

“Kokain hanya popular dan hebat di Amerika Syarikat sahaja tapi bukannya di Malaysia namun harga kokain terlalu mahal yang mana nilai satu gram sama dengan harga emas di sini.

“Namun saya tidak mahu mendedahkan nilainya kerana akan jadi temptation yang akan memaksa rakyat kita terpengaruh dan terlibat dalam pengedarannya.

“Malah peralatan makmal yang dirampas dari rumah itu digunakan sindiket itu akan dihantar ke Makmal Jabatan Kimia dan farmasi untuk menyiasat lanjut apa jenis barang larangan yang cuba diproses sindiket itu,” tegasnya.-MalaysiaGazette