resignation resign Speaker of Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun. Perikatan Nasional PN majority support Muhyiddin face mask MP Members of Parliament MPs
Azhar Azizan Harun

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun hari ini memutuskan untuk menolak usul untuk membahaskan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Azhar Azizan yang membuat keputusan itu lewat hari ini berkata, usul yang dibawa Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer dengan alasan Peraturan 18 (1) tidak boleh digunakan dalam usul berkenaan.

“Usul itu terpaksa saya tolak pertamanya kerana ianya tidak menyatakan kenapa ia perlu disegerakan.

“Kedua usul itu adalah dibawah Peraturan 18 (1), iaitu untuk merundingkan sesuatu perkara tetapi malangnya usul Jelutong adalah untuk menggesa Kabinet untuk menyuruh menteri menjawab satu soalan, jadi kalau kita hendak membuat sesuatu gesaan itu terpaksa Dewan Rakyat membuat satu ketetapan maka Peraturan 18 (1) tidak boleh digunakan untuk membuat ketetapan kerana peraturan itu cuma untuk merundingkan perkara tersebut,” katanya menjawab pertanyaan Rayer di Dewan Rakyat.

Oleh yang demikian, Azhar menggesa agar Rayer menggunakan platform soalan lisan untuk mendapatkan jawapan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Saya rasa prosedur Jelutong gunakan adalah untuk membuat soalan untuk jawab lisan kepada pihak kementerian kerana Jelutong mengkehendaki jawapan daripada menteri.

“Saya rasa itu prosedur yang sepatutnya dituruti oleh Jelutong,” nasihat Azhar Azizan.

Rayer bagaimanapun dilihat menerima secara terbuka keputusan yang dibuat oleh Azhar Azizan.

“Saya menerima keputusan Speaker dengan terbuka tapi saya merayu kepada Speaker mengangkat perkara ini kepada perhatian Menteri Dalam Negeri kerana sebagai seorang peguam, dalam kes kematian pengawal keselamatan.

“Seorang suspek yang mula dituduh dibawah Seksyen 326 telah ditukar ke Seksyen 302 Kanun Keseksaan, maka timbul polemik luar kenapa kes ini boleh bertindak dengan begitu segera untuk menuduh tapi kena kes arwah Mohamad Adib tidak ada sebarang penjelasan,” jelas Rayer.

Mahkamah Koroner pada 27 September tahun lalu memutuskan kematian Muhammad Adib yang parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, Selangor, pada 2018 adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui. – MalaysiaGazette