Gambar hiasan

MINGGU lalu negara telah dihangatkan dengan isu panas yang menyentuh tentang
penggunaan imej alat sulit wanita yang diletakkan sebagai motif di produk mereka
serta turut melancarkan kempen secara besar-besaran yang tujuannya dikatakan
adalah untuk meningkatkan kesedaran wanita tentang kepentingan dan keunikan alat
kelamin seseorang wanita itu sendiri. Hal ini dirasakan telah merobek maruah seorang
wanita kerana alat keintiman yang dianggap mahkota telah dijadikan bahan tayangan
kepada umum.

Sambutan Hari Wanita Sedunia yang diadakan saban tahun pada bulan Mac dan sambutan Hari Wanita Kebangsaan di peringkat nasional turut diadakan pada bulan Ogos tahun ini membawa moto “Memperkasakan Wanita”. Pemerkasaan wanita yang dilaungkan membawa pelbagai maksud termasuklah menerima pendapat wanita dalam pelbagai bidang, meningkatkan taraf hidup wanita melalui pendidikan, kesedaran, kecelikan dan latihan yang berterusan. Antara lain pemerkasaan wanita turut menekankan peri pentingnya wanita itu mempunyai nilai harga diri yang tinggi tanpa meletakkan mereka sebagai simbol seks atau menggunakan simbol seksualiti mereka sebagai tanda aras nilai harga diri mereka.

Zaman Jahiliyah sebelum kedatangan Islam menyaksikan wanita diperlakukan
sebagai hamba. Kedatangan Islam mengubah segalanya dan wanita diletakkan di
tempat yang tinggi di sisi masyarakat. Wanita layak memegang tampuk pemerintahan
yang sesuai dengan kepakarannya. Wanita juga layak menerima harta pusaka sesuai
dengan tanggungjawabnya. Kehormatan wanita dijaga agar tidak dijilat oleh mata
lelaki supaya keistimewaan wanita dilihat daripada akal dan kebijaksanaannya dan
bukan terletak pada rupa paras dan bentuk tubuh badan mereka.

Di nusantara Asia Tenggara ini, kita dididik dengan adat resam dan budaya yang bersopan santun dan lemah lembut. Pakaian yang sopan dan tidak mencolok mata merupakan asas bagi pemakaian harian secara am. Bahkan di salah sebuah negeri di pantai timur Semenanjung telah mengharamkan gambar wanita yang tidak menutup aurat daripada menghiasi papan tanda di seluruh negeri. Ini sejajar dengan saranan bahawa wanita itu tidak wajar dipertontonkan sewenang-wenangnya bagi melariskan jualan produk mereka.

Sebarang usaha untuk menjatuhkan maruah wanita secara langsung atau tidak langsung haruslah ditentang habis-habisan. Wanita juga merupakan tonggak bagi sesebuah negara. Di belakang seorang lelaki hebat, berdirinya seorang wanita. Pengorbanan wanita dalam memastikan politik dari ruang lingkup sekecil rumah tangga sendiri sehingga ke politik negara malah ada yang menjangkau ke sistem pentadbiran dunia adalah amat besar dan patut dibanggakan.

Malah ada juga yang turut sama melangkah seiring kaum lelaki bagi memastikan setiap keputusan dan langkah yang diambil sesuai dengan pelbagai aspek kehidupan masyarakat. Oleh itu tidak wajarlah bagi maruah seorang wanita diperkotak-katikkan semata-mata untuk menegakkan suatu pernyataan yang hakikatnya boleh ditegakkan dengan pelbagai cara yang lain lagi. Keprihatinan terhadap isu kaum wanita termasuklah isu yang melibatkan isu sensitif sebegini amat penting bagi meneruskan legasi Malaysia Prihatin yang dicanangkan oleh Perdana Menteri kita sempena tema Hari Kebangsaan yang lalu.

Justeru, meningkatkan taraf hidup seorang wanita haruslah berlaku dalam ruang
lingkup yang lebih meluas berbanding tumpuan kepada sesuatu bahagian yang jarang
dibincangkan. Isu yang dianggap taboo sebenarnya sudah lama menjadi bualan secara
santai malah telah dimasukkan ke dalam sukatan pelajaran sekolah tanpa perlu
menayangkan dan menjadikannya suatu simbol yang diletakkan sebagai salah satu
corak yang terdapat pada pakaian tradisional Malaysia.

Islam amat menitikberatkan perasaan malu. Ini ditekankan lagi dengan sabda
Nabi Muhammad SAW bermaksud: "Malu dan iman sentiasa bersama. Apabila salah
satunya dicabut, maka hilanglah yang lainnya." (Riwayat al-Hakim). Malu merupakan sifat orang yang beriman. Semakin tinggi iman seseorang, maka semakin tinggi harga dirinya. Apatah lagi, dengan sifat malu juga seseorang Muslim dapat menghindarkan diri daripada melakukan perbuatan yang ditegah oleh Allah SWT. Sifat malu menyebabkan sesorang tidak berani melakukan kemungkaran dan perkara yang tidak betul.

Wanita adalah tunggak negara yang perlu dilindungi dan dipelihara. Wanitalah yang menjadi tunggak dalam sesebuah keluarga. Marilah kita sebagai wanita menjaga diri dan maruah kita daripada digadai oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan menjadikan rasa malu sebagai perisai diri bagi memartabatkan maruah wanita. Prihatin Wanita Prihatin Malaysia. Wallahualam.

Dr Jannatul Madihah Abu Bakar
Setiausaha
Exco Warak Papisma