Dewan Rakyat terhenti tujuh minit selepas bilangan Ahli Parlimen blok kerajaan tidak mencukupi
Dewan Rakyat terhenti tujuh minit selepas bilangan Ahli Parlimen blok kerajaan tidak mencukupi

KUALA LUMPUR – Persidangan Dewan Rakyat sesi petang hari yang sepatutnya dimulakan jam 2.30 petang terhenti seketika.

Ketika membuka sidang petang, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon diberitahu oleh Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin bilangan ahli Parlimen daripada blok kerajaan tidak mencukupi.

Kee ChinĀ  bangun meminta untuk Rashid mengarahkan agar bilangan ahli Parlimen kerajaan dikira.

“Mohon Speaker minta Setiausaha Dewan Rakyat semak kehadiran terutama di sebelah penyokong kerajaan dan pihak menteri.

“Saya nampak korum tidak cukup,” gesa Kee Chin.

Rashid selepas itu mengarahkan Bentara Dewan Rakyat agar membuat kiraan mengenai kehadiran Ahli Parlimen kerajaan.

Kiraan awal bentara mendapati hanya 19 ahli Parlimen kerajaan berada di Dewan Rakyat ketika itu.

“Didapati terdapat 19 orang ahli Parlimen, kurang daripada 26 jadi saya minta loceng dibunyikan lagi sekali,” arah Rashid.

Sesi yang terhenti selama tujuh minit itu diteruskan setelah tujuh lagi ahli Parlimen daripada blok kerajaan memasuki dewan untuk mencukupi bilangan 26 orang.

“Jumlah sekarang telah melebihi 26 orang, jadi kita sambung perbahasan,” ujarnya.

Sidang perbahasan sesi petang diteruskan dengan perbahasan Titah Diraja oleh Ahli Parlimen Kampar, Thomas Su Keong Siong. – MalaysiaGazette