Aminuddin Harun
Aminuddin Harun

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Sembilan tidak pernah memberi kelulusan kepada mana-mana pihak untuk menggunakan tanah milik Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) di Taman Indah Baru, Tampin yang didakwa mahu dibangunkan rumah ibadat bukan Islam.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya kesal selepas dimaklumkan mengenai bantahan oleh Jawatankuasa Surau Taman Indah kepada wakil rakyat di kawasan itu.

“Perkara ini masih peringkat cadangan di pejabat daerah. Sesiapa pun boleh mengemukakan permohonan ke pejabat daerah tetapi kelulusan belum tentu lagi. Malah, belum ada perbincangan mengenai perkara terbabit setakat ini.

“Saya minta perkara ini tidak diperbesarkan, Negeri Sembilan tak ada isu, tapi jangan pula timbulkan isu agama yang boleh memberi kesan kepada perpaduan dan hubungan baik masyarakat berbilang kaum.

“Kita harus menggunakan kebijaksanaan dalam melakukan sesuatu perkara dan bukannya terus melenting tanpa mendapatkan fakta sebenar sehingga boleh rosakkan hubungan baik kerana negara ini ada undang-undang yang perlu kita patuhi,” katanya seperti dilaporkan.

Pada 11 September lalu, Ahli Jawatankuasa Surau Taman Indah Baru, Tampin menghantar satu memorandum kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repah, S. Veerapan bagi menyuarakan bantahan terhadap cadangan yang dikatakan akan membesarkan pembinaan kuil di tapak berkenaan.

Perkara itu menjadi tular di media sosial sehingga menimbulkan pelbagai reaksi netizen.

Sementara itu, Pengarah JHEAINS, Datuk Zaidi Ramli berkata, tanah berkenaan yang berkeluasan kira-kira 0.6 hektar sudah diwartakan sebagai tapak Masjid Taman Indah Baru sejak tahun 2011.

Tapak berkenaan sememangnya berhampiran sebuah kuil namun bukan di dalam kawasan tapak masjid keseluruhannya.

“JHEAINS memang ada cadangan untuk memajukan kawasan itu termasuk membina sebuah masjid tetapi disebabkan sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), perkara itu belum dapat dimulakan.

“Pembinaannya dirancang akan dibuat menggunakan dana wakaf dan sumbangan daripada pihak swasta,” katanya.

Semalam, Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Aminuddin Yahaya menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat sekiranya terdapat campur tangan politik berhubung bantahan cadangan pembinaan kuil tersebut.

Beliau turut meminta JAHEINS untuk memberikan penjelasan tentang status pemilikan tanah yang sebenar. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Siasat ahli politik terlibat cadangan bina kuil atas tapak masjid