Setelah menetapkan harga siling bagi kit ujian pantas antigen Covid-19 pada RM19.90 seunit, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersedia untuk memperhalusi cadangan yang sama terhadap produk berkaitan Covid-19.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Setelah menetapkan harga siling bagi kit ujian pantas antigen Covid-19 pada RM19.90 seunit, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersedia untuk memperhalusi cadangan yang sama terhadap produk berkaitan Covid-19.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi melihat ia perlu bagi memastikan semua golongan masyarakat dapat menggunakan produk itu pada harga yang lebih rendah.

“Kita akan memperhalusi perkara-perkara yang telah disebut tadi dengan sewajarnya kerana ia merupakan satu cadangan yang baik dengan menurunkan lagi harga kit ujian pantas antigen dan juga alat-alat yang lain.

“Kementerian akan mengkaji kesemua faktor yang telah saya nyatakan dengan mengambil kira pendekatan yang terbaik dengan membuat libat urus bersama lapisan pemain industri kerana kita tidak mahu ada yang rasa dianiaya dan terjejas,” katanya dalam sesi pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Nanta Linggi berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin (PH) yang mencadangkan  kerajaan menetapkan harga siling bagi produk berkaitan Covid-19 seperti alat sanitasi (gun spray), mesin pembersi udara dan juga unit peranti bagi memantau tahap oksigen atau pulse oximeter.

Kee Chin berkata, ia perlu dihadkan pada harga syiling bagi membolehkan ia mudah untuk diperolehi oleh pelbagia pihak.

“Produk-produk ini kini menjadi satu keperluan semasa disebabkan pandemik Covid-19,” katanya.

Awal bulan ini, KPDNHEP menetapkan harga runcit maksimum bagi kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian sendiri) di pasaran tempatan ditetapkan RM19.90 seunit.

Harga borong maksimum bagi kit ujian sama pula ditetapkan pada harga RM16 satu set.

Harga siling itu berkuat kuasa 5 September lalu.

Dalam pada itu, Nanta Linggi berkata, pihaknya sentiasa membuat pemantauan harga bagi produk-produk itu.

Sebarang kesalahan yang dilakukan oleh peniaga akan dikenakan tindakan dibawah Akta kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Kementerian akan meneruskan pemantauan harga bagi produk-produk ini dari semasa ke semasa dan tindakan boleh diambil di bawah Akta kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 keatas mana-mana peniaga yang cuba mengambil keuntungan secara tidak munasabah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette