Lava dari gunung berapi Cumbre Vieja mengalir laju sejak ia meletus pada hari Ahad. foto Reuters

LA PALMA – Letusan gunung berapi dekat Kepulauan Canary, Sepanyol telah memusnahkan rumah dan memaksa kira-kira 5,500 penduduk berpindah.

Lava dari gunung berapi Cumbre Vieja telah mengalir sejak letusan berlaku pada hari Ahad, menghancurkan semua yang ada di laluannya.

Kira-kira 100 rumah musnah setakat ini.

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez telah terbang ke La Palma pada hari Ahad untuk mengawasi kerja-kerja menyelamat.

Sanchez berkata, pihak berkuasa memantau secara rapat letusan yang berlaku sejak awal.

Malah, anggota tentera dan pengawal awam telah kerah untuk membantu penduduk-penduduk yang terlibat.

Setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Pemindahan mandatori telah dikeluarkan kepada empat perkampungan termasuk El Paso dan Los Llanos de Aridane.

Letusan gunung berapi itu memaksa empat penerbangan serantau dibatalkan.

Seramai 500 orang pelancong turut telah dipindahkan.

Namun, pihak berkuasa penerbangan Sepanyol mengatakan ruang udara, selain dari pulau itu dibuka.

Gunung berapi itu dijangka aktif beberapa hari lagi dan aliran lava akan mencecah perairan dalam jam 8 malam waktu tempatan.

Pada masa sama, Menteri Pelancongan Sepanyol, Reyes Maroto dikritik selepas memberitahu stesen radio bahawa letusan gunung berapi itu merupakan peluang menarik pelancong ke pulau tersebut.

“Pulau ini terbuka. Sekiranya hotel anda terjejas, kami akan menemui anda yang lain.

“Kami dapat memanfaatkan kesempatan ini. Bagi banyak pelancong yang ingin menikmati apa yang dibawa alam ke La Palma, mereka dapat melakukannya dalam beberapa minggu dan bulan akan datang,” ujarnya.

Kali terakhir gunung berapi itu meletus 50 tahun yang lalu.

Ia terletak di selatan pulau La Palma, yang mempunyai populasi sekitar 80,000 orang.

Letusan bermula sekitar jam 3 petang waktu tempatan Ahad lalu dan mengalirkan lava di lereng bukit menuju ke kampung-kanpung. – BBC