Tengku Razaleigh Hamzah
Tengku Razaleigh Hamzah

KUALA LUMPUR – Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan pengharaman UMNO asal oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 1988, adalah tidak sah dan tidak mengikut Akta Pertubuhan 1965.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, keputusan yang dibuat mahkamah ketika itu tidak berasas daripada segi undang-undang yang menyebabkan keputusan mengharamkan UMNO yang ditubuhkan pada 1946 itu tidak sah.

“Dalam ucapan saya di Parlimen sebentar tadi, saya bangkitkan perkara ini, bahawa tindakan ini tidak berasas dari segi undang-undang dan sebenarnya tidak sah. Ramai daripada mereka telah membantu saya menggali dari segi perundangan mengenai pengharaman UMNO ini.

“Dan, didapati tidak ada sesuatu yang berlaku, maka sebenarnya keputusan mahkamah mengharamkan UMNO asal tidak sah,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Tengku Razaleigh atau Ku Li menyatakan, beliau mengambil kesempatan sesi perbahasan petang ini untuk mengemukakan perkara lama yang terpendam, iaitu kes UMNO asal yang diharamkan pada 1988 dalam satu perbicaraan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Menurut beliau, sejak UMNO diharamkan, badan itu telah dibatalkan pendaftarannya dan pimpinan kerajaan serta politik ketika itu telah mengambil kesempatan menubuhkan parti baru yang dinamakan UMNO baharu.

Ini, kata beliau, menimbulkan banyak masalah kepada mereka yang tidak dapat menyertai UMNO baharu sesudah UMNO asal diharamkan.

“Kerana kita pada ketika itu merupakan ahli yang aktif, memegang jawatan dan menjadi Ahli Parlimen dan ramai antara kita berada dalam kerajaan serta nampak pembatalan pendaftaran oleh ROS ini tidak mengikut Akta Pertubuhan 1965 yang diberi kuasa bawa akta tersebut.

“Kita juga memikirkan penghakiman yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi dengan mengharamkan UMNO asal dibuat di luar bidang dan sepatutnya peguam yang mewakili UMNO melarang hakim daripada membuat keputusan sedemikian rupa.

“Bayangkan, UMNO ketika itu mempunyai keahlian lebih tiga juta dan merupakan satu badan politik yang aktif serta mempunyai keahlian merata tempat di seluruh negara,” katanya.

Ditanya, mengapa beliau mengambil masa begitu lama untuk bangkitkan perkara itu, Ku Li yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang berkata, beliau hendak pastikan pengharaman itu atau tidak sahnya pengharaman yang dibuat Mahkamah Tinggi itu adalah sesuatu yang betul atau tidak.

Ditanya, apa jadi kepada UMNO sekarang yang didaftarkan atas nama UMNO baharu, katanya, beliau tidak mahu menjawab bagi pihak parti itu sekarang.

“Kalau UMNO lama atau UMNO asal tidak haram, dan tidak sepatutnya penghakiman dilakukan sebagaimana yang telah dilakukan tempoh hari, maka apa jadi pada UMNO sekarang?

“Saya tak mahu menjawab bagi pihak UMNO sekarang, itu terserah kepada mereka yang ada, tetapi saya sekarang mementingkan kedudukan UMNO asal yang disalah hukum oleh mahkamah.

“Pada saya, UMNO asal tidak pernah melanggar mana-mana satu undang-undang negara, tidak pun melakukan sesuatu yang salah dari segi pentadbiran, maka tidak ada sebab mengapa pendaftaran badan ini dibatalkan oleh ROS.” katanya.

Menurut Ku Li, ada setengah orang kata mengapa UMNO tidak aktif, sedangkan parti tersebut ketika itu seolah pengsan oleh perbuatan mereka yang berkuasa.

Katanya, mereka yang berkuasa ketika itu telah dapat menguasai keadaan sehingga tidak ada orang berani bertindak untuk menghidupkan semula UMNO yang diharamkan itu.

“Dari situ berlakunya krisis perlembagaan dan krisis kehakiman, di mana banyak hakim dibuang kerja, ramai pegawai kerajaan juga dikenakan tindakan dan sebagainya.

“Orang tak berani kerana berlakunya Operasi Lalang, ramai orang kena tangkap. Jadi, orang yang menerima hukuman seperti pengharaman UMNO ini tak berani bertindak.

“Itu sebab ia mengambil masa begitu lama dari tarikh UMNO asal diharamkan hingga sekarang dan sekarang orang yang terlibat dalam kes ini pun sudah tidak ada dalam UMNO lagi,” ujarnya.

Bahkan, kata Ku Li, mereka yang terlibat dengan penghakiman kes itu juga sudah tidak ada lagi dalam perundangan dan kehakiman.

Sebab itu, katanya, beliau mengambil kesempatan itu untuk menyatakan dengan sahih bahawa penghakiman mengharamkan UMNO 1946 adalah tidak sah.

Beliau menjelaskan, mengapa dibangkitkan perkara itu di Parlimen, bukan secara perundangan kerana setiap kes politik mesti dibuat di Dewan Rakyat dan biarlah dewan yang mulia itu menimbang hal berkenaan atau membicarakan kes yang dikemukakan itu. – MalaysiaGazette