Ketua Pegawai Eksekutif, Anti-Diskriminasi dan Salah laku, Datuk Mohd Fakhrunizam Ibrahim

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa supaya menarik balik arahan terhadap larangan untuk menyekat kemasukan pelajar sekolah dan universiti yang tidak menerima suntikan vaksin Covid-19.

Perkara itu disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif, Anti-Diskriminasi dan Salah laku, Datuk Mohd Fakhrunizam Ibrahim yang memberitahu, larangan tersebut boleh menyebabkan berlakunya diskrimimasi terhadap masa depan pelajar-pelajar terbabit.

Beliau berkata, rakyat sepatutnya diberikan hak untuk memilih sama ada mereka mahu divaksin atau sebaliknya.

‘”Arahan ini kalau boleh tariklah balik…takkan kita nak generasi akan datang jadi bodoh, tak berilmu…bukalah balik.

“Jangan kita menetapkan satu protokol atau undang-undang yang mana impact (kesan) dia meruntuhkan ilmu atau pengetahuan masyarakat dan pimpinan pada masa akan datang.

“Kita perlu rakyat yang intelektual, bijak dan pandai. Kita tak nak jadi seperti negara lain yang mana akhirnya negara itu runtuh dan musnah disebabkan rakyatnya tidak berilmu untuk membangunkan negara,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika menjadi panelis pada Program bertajuk Isu Paksaan dan Keselamatan Vaksin Buatan Baru Covid-19 anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), secara maya hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Fakhrunizam berkata, kebanyakan pelajar yang terlibat merupakan aset yang akan membangunkan negara dan tidak wajar untuk menyekat mereka daripada memperoleh ilmu.

Justeru, beliau meminta agar pelajar-pelajar berkenaan diberikan pilihan tanpa perlu mengenakan undang-undang tertentu yang boleh menekan mereka.

Dalam pada itu beliau turut menggesa agar Kementerian Kesihatan Malaysia membuat ujikaji terhadap penerima vaksin sebelum dan sesudah serta perlu mendedahkan data ujikaji tersebut kepada umum.

Ujarnya, ia boleh dilakukan kepada 500 individu bagi menunjukkan kesan vaksin terhadap penerimanya.

“Mereka kena buat dan kongsikan dengan masyarakat…kita nak tahu…kita cucuk vaksin dalam badan kita dah tentulah kita nak antibodi kita tinggi untuk lawan virus ini…cuma kita nak tahu tahap antibodi kita,” tambahnya. – MalaysiaGazette