Polis tahan 13 individu terlibat dalam parti liar di Taman Permaipura, Sungai Petani semalam.

SUNGAI PETANI – 13 individu termasuk dua wanita ditahan selepas didapati terlibat dalam aktiviti parti liar di sebuah inap desa di Taman Permaipura di sini, semalam.

Kesemua mereka berusia antara 18 hingga 21 tahun itu ditahan dalam serbuan Ops Parti Liar kira-kira jam 4.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, bertindak atas maklumat dan risikan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda menyerbu kediaman tersebut.

Adzli.

“Hasil pemeriksaan mendapati 11 lelaki dan dua wanita berada di lokasi sebelum pihak polis menemui dadah jenis ketamin dalam poket seluar salah seorang suspek lelaki.

“Siasatan lanjut, kesemua suspek mengaku menyewa inap desa itu dengan kadar RM250 sehari bagi tujuan berhibur,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Adzli, semakan lanjut mendapati rata-rata yang ditahan itu  tinggal di sekitar Sungai Petani, Baling dan Pulau Pinang.

“Masing-masing bekerja sebagai operator kilang, mekanik, petugas penghantar makanan, bekerja sendiri dan penganggur.

Lima daripada suspek positif dadah.

“Hasil saringan ujian air kencing mendapati lima daripada mereka positif dadah.

“Kesemua mereka dikenakan kompaun kerana berkumpul tanpa penjarakan fizikal manakala seorang lelaki direman selama empat hari kerana memiliki dadah,” ujar beliau.

Siasatan dijalankan mengikut Peraturan 10 Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) Pelan Pemulihan Negara 2021, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama. – MalaysiaGazette