Gambar tular menunjukkan sekumpulan individu dikompaun susulan gagal mematuhi SOP di Empangan Mengkuang.

BUKIT MERTAJAM – Empangan Mengkuang di sini akan dibuka semula kepada orang awam selepas ditutup selama tujuh hari susulan pengunjung gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Datuk Ir Jaseni Maidinsa berkata, hanya pengunjung yang sudah lengkap vaksinasi dan menunjukka status risiko MySejahtera  selamat sahaja yang akan dibenarkan masuk ke kawasan berkenaan bermula Khamis ini.

Datuk Jaseni Maidinsa.

Jelas beliau, syarat-syarat yang sama turut diguna pakai untuk kemasukan orang awam ke Empangan Air Itam, Empangan Teluk Bahang dan Taman Bukit Dumbar.

“Dalam konteks ini, status vaksinasi lengkap bermaksud seseorang telah menerima dua suntikan vaksinasi, selepas tempoh 14 hari suntikan kedua.

“Peraturan baru ini turut terpakai untuk semua bakal pengunjung ke kawasan rekreasi awam lain di bawah kendalian PBAPP di Pulau Pinang termasuk Empangan Air Itam, Empangan Teluk Bahang dan Taman Bukit Dumbar,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, Empangan Mengkuang yang menjadi tumpuan warga Seberang Perai untuk beriadah diarah tutup selama tujuh hari.

Ia selepas pemeriksaan dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seberang Perai Tengah pagi tadi, mendapati terdapat pelanggaran SOP Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Empangan mengkuang ditutup selama tujuh hari selepas orang ramai dikesan gagal mematuhi SOP.

Kira-kira 14 pengunjung dikenakan kompaun RM1,500 atas kesalahan tidak memakai pelitup muka dan tiada penjarakan fizikal ketika melakukan aktiviti riadah di empangan itu.

Tambah Jaseni, individu dengan status tidak selamat  tidak harus cuba untuk mengunjungi kawasan rekreasi awam – Empangan Mengkuang, Empangan Air Itam, Empangan Teluk Bahang dan Taman Bukit Dumbar yang diuruskan PBAPP.

“PBAPP perlu mematuhi peraturan dan undang-undang negara dalam pembukaan kawasan rekreasi kepada orang ramai.

“PBAPP membuka empangannya dan Taman Bukit Dumbar sebagai khidmat awam, untuk membolehkan rakyat yang sihat yang ingin melakukan aktiviti rekreasi yang menyihatkan. Namun, kami tidak mahu menyebarkan lagi wabak Covid-19 di persekitaran Pulau Pinang,” ujar Jaseni. – MalaysiaGazette