Gambar hiasan

TAHNIAH dan terima kasih diucapkan kepada kerajaan kerana sudi memberi reaksi positif terhadap pelaksanaan Rang Undang–Undang Undi 18 (RUU Undi 18) yang bakal menurunkan had usia mengundi dalam negara kita. Dengan kuatkuasanya RUU Undi 18 ini kelak, mereka yang sudah mencapai had usia dewasa 18 tahun boleh melibatkan diri mereka untuk menentukan nasib perjalanan negara ini dari sudut politik dan pentadbiran. Penglibatan golongan muda dalam proses mengundi ini juga diyakini dapat memperkuatkan lagi sistem demokrasi dalam negara kita.

Orang muda harus diiktiraf sebagai golongan yang boleh memilih masa hadapan dan
hala tuju sistem pemerintahan negara. Hampir semua negara di seluruh dunia telah mengiktiraf hak mengundi ini kepada orang muda di negara masing–masing. Pada tahun
2019, Malaysia telah bersuara dan mengikut jejak langkah kebanyakan negara demokrasi dalam dunia. Maka, kerajaan hari ini harus melaksanakan keputusan yang telah
dipersetujui oleh kerajaan dan pembangkang pada tahun 2019 yang lalu dengan segera.

Namun pada masa yang sama, semua pihak juga harus bersiap sedia hadapi impak penurunan had usia mengundi ini. Susulan pindaan terhadap Perkara 119 Perlembagaan
Persekutuan yang bakal menurunkan had usia mengundi daripada 21 tahun ke 18 tahun, semua pihak khususnya ahli politik perlu mengelakkan diri mereka daripada melakukan
sebarang jenis kempen politik terhadap golongan yang berada dibawah usia 18 tahun yang rata–ratanya masih bersekolah.

Pelaksanaan undi 18 tahun ini menjadi kebimbangan kerana dikhuatiri ahli–ahli politik serta parti politik yang tidak bertanggungjawab akan mula melakukan proses kempen politik mereka kepada golongan yang berada di bawah usia  sebagai langkah awal untuk mereka berkempen. Usaha harus diambil oleh semua pihak khususnya Kementerian Pendidikan, pengurusan sekolah serta para guru supaya para pelajar di sekolah mereka tidak menjadi mangsa kempen agresif mana–mana ahli politik dan parti politik. Mana–mana pihak dalam negara kita tidak sewajarnya mempengaruhi atau mengheret golongan kanak–kanak ke kancah politik orang dewasa.

Kanak–kanak atau golongan yang berada di bawah umur 18 tahun ini sepatutnya dilindungi dari sebarang pengaruh politik dan kempen politik. Isu politik adalah kompleks serta sensitif hanya sesuai untuk diceburi oleh golongan dewasa yang mempunyai
pengalaman serta tahap pemikiran yang matang. Kebiasaannya golongan kanak–kanak yang berada di bawah usia adalah golongan yang tidak memiliki tahap pemahaman dan kematangan yang tinggi berbanding dengan golongan dewasa.

Oleh itu amat sukar untuk kanak–kanak memahami sesuatu isu atau perkara yang kompleks dan sensitif seperti politik. Terdapat juga kebimbangan golongan kanak– anak ini menjadi mangsa pihak–pihak yang tidak bertanggungjawab yang mempunyai tujuan atau agenda tertentu. Pada masa yang sama, terdapat juga kebimbangan sebarang pengaruh politik dan kempen politik akan menjejaskan tumpuan proses pembelajaran kanak–kanak terbabit serta menganggu tahap kestabilan dan perkembangan mental serta emosi mereka.

Golongan kanak–kanak atau golongan bawah umur ini perlu di lindungi pada
setiap masa daripada dipengaruhi oleh mana mana pihak  dari dalam ataupun luar negara yang boleh menjejaskan perkembangan diri kanak–kanak itu dan ini termasuklah
pengaruh politik golongan dewasa. Terdapat pelbagai cara atau langkah yang boleh diambil bagi melindungi golongan kanak kanak dan salah satu cara bagi melindungi golongan kanak–kanak terbabit ialah melalui proses undang– undang.

Aspek perundangan mengenai perlindungan terhadap kanak–kanak ataupun mereka yang berada di bawah umur seperti golongan remaja di Malaysia telah lama wujud sebelum
merdeka lagi iaitu seawal tahun 1947 dengan wujudnya Akta Kanak–Kanak dan Orang Muda 1947 & Akta Mahkamah Juvana 1947. Walau bagaimanapun, menyedari hakikat terdapatnya satu keperluan untuk mengubah hala tuju konsep perlindungan terhadap golongan kanak–kanak ini dan juga pembaharuan dalam undang–undang berkaitan sejajar dengan perkembangan semasa serta bagi masalah yang sering
berlaku ke atas mereka, maka satu akta yang khusus dan yang lebih komprehensif mengenai kanak-kanak telah digubal dan diluluskan oleh pihak kerajaan iaitu Akta Kanak–Kanak 2001 [Akta 611] yang telah berkuat kuasa pada 1 Ogos 2002.

Akta 611 terbabit telah mendefinisikan seorang kanak–kanak dalam seksyen 2
sebagai seseorang yang di bawah umur 18 tahun. Walaupun sudah terdapat pelbagai jenis peruntukan bagi melindungi kanak – kanak dan bawah umur di dalam Akta 611
ini, namun ia dilihat masih tidak mencukupi dalam melindungi golongan kanak–kanak khususnya daripada pengaruh politik dan kempen– kempen politik.

Oleh yang demikian, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk mewujudkan satu peruntukan yang lebih jelas di dalam Akta 611 ini ataupun mewujudkan satu bentuk peruntukan undang– undang baru yang lebih khusus dan berasingan supaya dapat melindungi golongan kanak – kanak ini daripada dipengaruhi oleh sentimen dan
kempen politik serta menyediakan satu bentuk hukuman yang keras terhadap mana–mana pihak yang melanggar peruntukan undang–undang ini.

Cadangan kewujudan peruntukan undang–undang dalam perkara ini penting supaya semua pihak dalam negara kita jelas mengenai isu ini serta mengambil berat dalam perihal melindungi kanak–kanak daripada terdedah dengan pengaruh politik dan kempen politik yang boleh menjejaskan kestabilan minda, emosi serta keseluruhan proses perkembangan golongan kanak–kanak dalam negara kita. Pada masa sama ia boleh memberi satu bentuk peringatan serius kepada semua ahli politik dan parti politik dalam negara kita supaya tidak menganggu golongan kanak – kanak dengan isu politik.

Oleh: Dr. Muzaffar Syah Mallow,
Profesor Madya,
Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)