Jonathan Yasin

KUALA LUMPUR – Pelbagai langkah bagi mengawal kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menjadi antara punca utama peningkatan kes Covid-19 di Sarawak sedang dilaksanakan kerajaan ketika ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Jonathan Yasin berkata, antara langkah strategik yang diambil adalah meningkatkan kawalan pos imigresen bersempadan dengan Kalimantan di Sarawak oleh Jabatan Imigresen (JIM).

Katanya, JIM juga mengehadkan tempoh operasi di kaunter perkhidmatan di Kompleks Imigresen dan Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) bersempadan dengan Kalimantan dari pukul 9 pagi hingga 3 petang.

Manakala, waktu operasi di Kompleks ICQS bersempadan dengan Brunei pula dihadkan antara pukul 6 pagi hingga 6 petang sahaja.

“Semua warga asing yang mahu memasuki Sarawak juga perlu memohon kebenaran Jawatankuasa Keselamatan dan Bencana Negeri sebelum memasuki negeri ini.

“Kerajaan juga mengawal laluan masuk ke Sarawak yang tidak diwartakan menerusi penguatkuasaan Op Bentang sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersama Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan agensi keselamatan lain,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen (GPS-Betong), Datuk Robert Lawson Chuat yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah usaha dan langkah-langkah kerajaan bagi mengawal PATI yang dibawa masuk oleh ejen yang tidak bertanggungjawab dan telah dikenal pasti sebagai salah satu punca penularan Covid-19 di Sarawak.

Jonathan berkata, JIM turut mengadakan sesi libat urus dengan majikan supaya patuh kepada peraturan dan undang-undang pengambilan pekerja asing di negara ini termasuk Akta Imigresen 1963.

Kementerian  itu juga mengadakan perbincangan dengan konsulat dan duta negara asing bagi memastikan rakyat negara berkenaan tidak sewenang-wenangnya memasuki Sarawak tanpa dokumen sah.

“Kita juga mengadakan perbincangan dengan agensi berkaitan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan penguatkuasaan terhadap kemasukan PATI serta meningkatkan pendigitalan sistem imigresen.

“Kita juga meningkatkan kerjasama dengan negara lain menerusi forum di peringkat antarabangsa termasuk Indonesia, Brunei dan Filipina bagi membincangkan isu berkaitan  PATI,” tambahnya. – MalaysiaGazette