Tertuduh, Mohamed Shaffiq Mohamed tiba di Mahkamah Sesyen Kuantan pagi tadi bagi menghadapi pertuduhan rasuah.

KUANTAN- Seorang koperal polis mengaku tidak bersalah atas  tuduhan menerima rasuah berjumlah RM700 sebagai balasan bagi membebaskan seorang lelaki yang didapati memiliki ketum.

Tertuduh, Mohamed Shaffiq Mohamed, 32, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan pagi tadi, memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),  Siti Sarah Zainal Abidin di hadapan Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Anggota polis itu didakwa melakukan kesalahan tersebut pada pukul 1 hingga 2 petang pada 25 Disember lalu di pejabatnya.

Suapan itu diterima daripada Afiq Hidayatullah Hussin sebagai dorongan mengambil tindakan dan melepaskan Mulhammad Faiz Aiman ​ Mohd Yusof yang didakwa melakukan kesalahan di bawah seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Bagi kesalahan tersebut, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda lima kali ganda nilai suapan atau mana-mana yang lebih tinggi.

Mahkamah menetapkan RM10,000 sebagai wang jaminan namun tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan kepada RM3,000.

Selepas memberi pertimbangan kepada permohonan tertuduh, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 25  Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast