Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan 1 Malaysia, Yusuf Azmi bercakap pada majlis penyerahan memorandum tuntutan penyelesaian isu tahanan di depoh Imigresen di Kompleks D, Putrajaya. Foto SYAFIQ AMBAK, 22 SEPTEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Isu kemanusiaan merupakan tajuk yang tidak pernah selesai di negara ini, kata Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia, Yusuf Azmi.

Beliau berkata demikian merujuk isu depoh tahanan Imigresen yang didakwa dikurung terlalu lama dan masalah individu tiada kerakyatan di negeri Sabah.

Yusuf berkata, individu yang berada di dalam depoh tahanan terbabit bukan golongan penjenayah sehingga perlu dikurung dalam satu tempoh masa yang lama.

“Dalam hal ini saya tidak menuding jari kepada sesiapa termasuk mana-mana parti politik kerana isu kemanusiaan ini merupakan tajuk yang tidak pernah selesai.

“Mereka ini bukan penjenayah kerana jika mereka ini penjenayah pihak polis sudah ambil tindakan. Ini soal mereka ditahan dan ditempatkan dalam depoh terlalu lama, tidak boleh ke sekolah mahu pun bekerja seperti individu lain,” katanya.

Dalam masa itu, Yusuf turut menyeru supaya isu berkenaan tidak dijadikan mainan mahu pun political mileage dalam kalangan ahli politik di negara ini.

Tambahnya, memorandum yang diserahkan kepada KDN hari ini bukan bertujuan meminta kad pengenalan bagi setiap individu tiada kerakyatan terbabit namun cukup sekadar mempunyai satu identiti bagi meneruskan kehidupan.

“YB di dalam Parlimen ini semuanya super hero kerana kerja mereka adalah untuk membangkitkan isu, jadi mana YB yang dilihat sebagai Superman dan Ultraman, keluarlah dan bangkitkan isu kemanusiaan ini.

“Kita bukan minta kad pengenalan, kita hanya minta satu bentuk identiti bagi masyarakat stateless ini, cuba bantu kerana sebahagian besar mereka ini dilahirkan di Malaysia,” ujarnya.

Terdahulu tiga badan bukan kerajaan termasuk Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dan Pertubuhan Ikatan Sahabat-Sahabat Pejuang Nusantara menyerahkan memorandum bagi mendesak Kementerian Dalam Negeri dan menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyelesaikan isu depoh tahanan Imigresen yang terperangkap terlalu lama dan golongan tiada kerakyatan di negeri Sabah. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tiga NGO desak selesai isu depoh tahanan, individu tiada kerakyatan