Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan 1 Malaysia, Yusuf Azmi (dua kanan) meyerahkan memorandum kepada Setiausaha Bahagian Komunikasi Korporat KDN, Shahrulmizan Rahmat (kiri) pada majlis penyerahan memorandum tuntutan penyelesaian isu tahanan di depoh Imigresen di Kompleks D, Putrajaya. Foto SYAFIQ AMBAK, 22 SEPTEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyerahkan memorandum kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mendesak supaya isu depoh tahanan Imigresen dan individu tiada kerakyatan (stateless people) di Sabah diselesaikan.

Wakil ketiga-tiga NGO membabitkan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (Semboyan Malaysia) dan Pertubuhan Ikatan Sahabat-Sahabat Pejuang Nusantara (Pejuang Nusantara)  hadir kira-kira pukul 2.30 petang di sini bagi menyerahkan memorandum kepada wakil KDN.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, sebahagian besar tahanan depoh Imigresen di negeri Sabah sudah berada dalam satu tempoh masa yang terlalu lama.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim. Foto SYAFIQ AMBAK, 22 SEPTEMBER 2021.

Beliau mendakwa, kebanyakan mereka terperangkap di depoh terbabit hanya disebabkan masalah dokumen perjalanan yang lambat dikeluarkan oleh Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur.

“Daripada segi nilai kemanusiaan adalah tidak patut mereka di tahan di depoh tersebut dalam tempoh lama, ada kalanya melebihi setahun hanya semata-mata menunggu dokumen tersebut diperoleh daripada pihak kedutaan.

“Satu memorandum kemanusiaan juga telah dihantar kepada kedutaan mereka di Kuala Lumpur supaya tindakan segera dapat diambil dalam menyelesaikan proses pengeluaran dokumen perjalanan warga Filipina di depoh khususnya di Sabah.

“Kita juga memohon KDN bersama kerajaan negeri Sabah untuk memberi tekanan terhadap pihak kedutaan dan mengambil langkah proaktif dalam menangani isu ini segera,” katanya ketika ditemui di hadapan bangunan KDN hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Semboyan Malaysia, Yusuf Azmi dan wakil Pejuang Nusantara, Muhammad Firdaus Mohd Adnan.

Dalam pada itu, Hishamuddin menegaskan, mereka turut menuntut satu tarikh akhir daripada KDN dalam menyelesaikan isu individu tiada kerakyatan.

“Kita mohon kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin (Menteri Dalam Negeri), kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri untuk melihat isu ini dengan kaca mata kemanusiaan sepenuhnya tanpa kepentingan politik.

“Satu tarikh tetap perlu dinyatakan dengan jelas sama ada dua atau tiga tahun dari sekarang bagi menyelesaikan isu tersebut kerana kami tidak lagi sanggup melihat ada lagi manusia yang dizalimi serta dinafikan hak untuk hidup,” ujarnya.

Hishamuddin berkata, selain menuntut tarikh akhir penyelesaian bagi isu tersebut, mereka turut memohon penggantungan operasi tangkapan pihak penguatkuasa termasuk Jabatan Imigresen Malaysia dan Polis Diraja Malaysia terhadap golongan tiada kerakyatan di negeri Sabah secara serta-merta.

Selain itu, katanya, antara intipati lain di dalam memorandum itu termasuk meminta supaya semua tahanan di depoh Imigresen dari golongan individu tiada kerakyatan untuk dibebaskan atas prinsip kemanusiaan.

“Sudah cukup penderitaan mereka ditahan bertahun-tahun di dalam depoh tersebut. Bayangkan terdapat bayi yang hidup bersama ibunya di sana tanpa bekalan susu dan makanan seimbang, berapa lama lagi kita mahu lihat bayi atau warga emas meninggal setelah ditahan terlalu lama,” ujarnya.

Tambah Hishamuddin lagi, mereka juga menuntut KDN dan kerajaan Sabah memberikan identiti khusus kepada golongan stateless mengikut kelayakan serta cadangan mewujudkan satu pas tunggal bagi golongan pelarian di negeri berkenaan.

Tegasnya, satu penyelesaian secara holistik dan bersepadu perlu diambil bagi menyelesaikan isu yang telah berdekad lama terjadi di Sabah. – MalaysiaGazette