Penyokong mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika menyaksikan perlawanan Liga Super Malaysia 2021 antara pasukan Selangor FC dengan Perak FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 10 APRIL 2021.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Saingan Piala Malaysia yang membuka tirainya Ahad ini lebih meriah sekiranya penyokong dibenarkan memasuki stadium.

Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, saingan tertua Asia Tenggara itu menjadi detik yang istimewa bagi musim ini kerana bakal menyambut ulang tahun ke-100.

Beliau menambah, saingan itu diserikan pula dengan pertarungan sengit akan disajikan semua pasukan bertanding.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan semua pasukan supaya sentiasa berdisiplin dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 dalam memastikan tiada rantaian wabak berkenaan berlaku dalam saingan piala berprestij itu.

“Sudah tentu ia (Piala Malaysia) akan lebih meriah andai kehadiran semula penonton ke stadium dapat direalisasikan sepanjang kejohanan berprestij itu berlangsung.

“Ingatlah bahawa pasukan bola sepak sekarang menjadi contoh teladan kepada generasi muda dan saya berharap sukan bola sepak menjadi contoh terbaik kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Ghani yang turut mewakili barisan Ahli Lembaga Pengarah MFL mengucapkan tahniah kepada Negeri Sembilan FC atas kejayaan menjuarai Liga Perdana 2021.

Katanya, saingan Liga Perdana musim ini memahat memori yang sukar dilupakan selepas disajikan pertembungan tiga penjuru iaitu Negeri Sembilan, Sarawak United FC dan Terengganu FC II (TFC II) dalam perebutan gelaran kejuaraan hingga ke hujung musim.

“Tidak dilupakan juga tahniah kepada semua pasukan Liga Perdana 2021 atas komitmen dan ketabahan yang wajar diberikan pujian apabila berjaya mengharungi musim cukup mencabar berdepan pandemik COVID-19.

“Saya juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada MKN, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atas kebenaran kepada MFL untuk meneruskan saingan Liga Malaysia selama ini. Begitu juga pihak keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya. – MalaysiaGazette