Diantara jemaah yang berada diluar masjid tidak dapat menunaikan solat Jumaat kerana telah dihadkan kepada 40 orang jemaah tidak termasuk pegawai dan kakitangan masjid ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. foto AFIQ RAZALI, 12 JUN 2020

KUALA LUMPUR – Selangor membenarkan sehingga 1,000 jemaah bersolat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri), manakala 500 jemaah bagi masjid lain dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2.

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam satu surat edaran dalaman yang dikeluarkan memaklumkan ketetapan baharu itu berkuatkuasa hari ini sehingga suatu tempoh yang akan ditentukan kelak.

Ketetapan itu juga mengambil kira penurunan kes semasa yang terus konsisten dan terkawal, peningkatan peratus vaksinasi lengkap dan kesedaran masyarakat terhadap kawalan kendiri serta beberapa indikator yang sangat signifikan.

Bagi Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong; Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya dan masjid institusi pula, masing-masing 500 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat Jumaat, manakala 300 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat lima waktu.

“Masjid kariah pula 350 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat Jumaat, manakala 200 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat lima waktu.

“Surau kariah dan musolla pula masing-masing 100 jemaah termasuk pentadbir masjid bagi solat lima waktu,” menurut edaran itu.

Selain itu, prosedur operasi standard (SOP) mencegah wabak diberi penekanan dengan jemaah hanya dalam kalangan ahli kariah yang tinggal bermastautin dalam kawasan dan perlu lengkap dua dos vaksin Covid-19 serta melepasi tempoh inkubasi ditetapkan.

Masjid dan surau juga dibenar menerima jemaah bermusafir atau pemandu e-hailing dan penghantar makanan.

“Jemaah bukan warganegara yang dikenali dan melazimi hadir ke masjid/surau boleh dipertimbangkan,” menurut edaran itu.

Selain itu dimaklumkan, program mengimarahkan masjid dan surau dibenar dilaksana, antaranya kuliah Subuh, kuliah Dhuha, kuliah Maghrib, tazkirah sebelum solat Jumaat, halaqah tadarus dan tadabbur Al-Quran, kuliah muslimat, bacaan Yasin dan tahlil serta program munajat dan doa.

Bagaimanapun, jamuan selepas majlis dan penyediaan secara hidang tetap tidak dibenarkan. – MalaysiaGazette